
Sedikit berbeza dengan yang lain, pelakon, Puteri Balqis memberitahu sambutan Hari Raya yang diraikan saban tahun disambut dalam keadaan sangat sederhana.
Raya dengan gelandangan

Balqis, 18, berkata, dia tidak mempunyai rutin seperti orang lain yang menziarahi kaum keluarga, sebaliknya hanya meraikan lebaran bersama ibunya di Kuala Lumpur.
Malah, busana yang disarung adakalanya hanya baju harian yang dipadankan dengan seluar denim.
Setiap hari raya, baju saya hanya sepasang atau pakai t-shirt dengan jeans sahaja. Saya beraya di Kuala Lumpur dan hari raya saya seperti hari-hari biasa.
Rutin raya kami pun tiada yang istimewa, sebab saya raya berdua sahaja dengan ibu.
Dalam pada itu, Balqis memberitahu, antara aktiviti raya yang dilakukan adalah mendekati golongan gelandangan sambil mendengar cerita mereka.
Kadang-kadang kami beraya dengan gelandangan, kami lebih kepada mereka yang tidak merasai pengalaman beraya.
Saya akan berborak dengan gelandangan, tanya apa jadi dengan nasib mereka. Saya akan bawa sedikit makanan untuk mereka.
Setiap kali saya bercakap dengan mereka, ada satu perasaan yang tidak boleh digambarkan. Mereka ada yang datang dari pelbagai latar belakang. Dengar cerita mereka seronok.





