
Sejak tahun 2016, Women Of Will (WOW) telah bekerjasama dengan lebih 25 komuniti luar bandar di Sook, Keningau, Sabah melalui Program Pertanian Organik.
Program ini direka untuk memperkasakan wanita melalui kemahiran, teknik dan peralatan supaya mereka dapat menjana sumber pendapatan yang berterusan dan dalam masa yang sama membina komuniti berdaya tahan.

Sehingga kini WOW dah membantu seramai 372 wanita. Bukan itu sahaja, mereka juga dah berjaya mewujudkan 59 Pemimpin komuniti yang kini aktif menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti di sana.
Bagi menyokong usaha ini, WOW menyediakan peralatan dan kelengkapan pertanian yang diperlukan, membolehkan wanita-wanita ini mengurus dan mengusahakan ladang mereka dengan lebih berkesan. Paling penting, sokongan ini membolehkan mereka memasarkan hasil tanaman ke luar kampung, membuka akses kepada pasaran yang lebih luas dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
Dari kebun ke perniagaan: Inspirasi dari Kampung Maatol
Kalau korang nak tahu, selain daripada teknik pertanian program ini juga merangkumi latihan keusahawanan. Ini bagi membantu para peserta Program Pertanian Organik menjana pendapatan.
Misalnya di Kampung Maatol, sekumpulan wanita bekas peserta WOW telah bersama-sama menubuhkan dua buah perniagaan untuk membantu komuniti mereka:

WOW Warung – Ianya sebuah kedai makan kecil warga tempatan yang menyajikan hidangan seperti mi goreng, sup, nasi goreng, dan pelbagai lauk-pauk. Selain itu, warung ini juga memiliki ruang makan yang selesa dan pekerja yang mesra untuk untuk memudahkan penduduk memesan makanan dan menikmati hidangan bersama keluarga dan jiran, sekali gus mengeratkan hubungan komuniti sambil menjana pendapatan untuk para usahawan wanita.

WOW Kedai Runcit – Sebuah kedai serbaneka kejiranan yang menjual keperluan harian seperti gula-gula, makanan dalam tin, mi segera, snek, keperluan rumah seperti tisu, tuala wanita, dan banyak lagi. Kedai ini membantu memastikan penduduk, terutamanya wanita dan warga emas, dapat membeli barangan pada harga berpatutan tanpa perlu keluar jauh ke pekan.
Perniagaan ini menjadi bukti bahawa program ini bukan sahaja mendorong pembangunan individu, tetapi secara menyeluruh yang akhirnya dapat menyelesaikan masalah komuniti setempat dengan bantuan ahli komuniti itu sendiri.

Menurut Gary, Pegawai Projek (Sabah), memberi sokongan berterusan kepada komuniti luar bandar seperti di daerah Sook amat penting untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Apabila wanita diberi peluang dan akses kepada ilmu, sumber, serta sokongan, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup keluarga sendiri, tetapi juga menjadi penggerak utama dalam memajukan komuniti mereka terutamanya dalam bidang pertanian.
“Antara cara memperkasakan komuniti termasuk; 1. Bantuan peralatan pertanian kerana ramai peserta tidak mampu membeli bahan-bahan asas dan tiada pendapatan tetap, 2. Latihan yang sesuai dengan aktiviti mereka, serta 3. Lawatan kebun yang membolehkan kami memberi nasihat secara terus dan membantu mereka menangani cabaran agar penghasilan mereka lebih baik.” Tambah Piturus, yang juga merupakan salah seorang Pegawai Projek (Sabah).
Hari Komuniti WOW: Platform perpaduan bantu perkasa kepimpinan tempatan

Tidak hanya mengajar kemahiran, teknik, dan memberikan peralatan untuk Program Pertanian Organik, WOW juga menganjurkan Hari Komuniti, yang menjadi platform penting untuk pembinaan komuniti dan akses kepada perkhidmatan sokongan. Antara aktiviti yang dilakukan termasuk:-
- Saringan dan perkhidmatan kesihatan percuma dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dan klinik tempatan.
- Literasi kewangan dan kaunseling melalui Agensi Kaunseling & Pengerusan Kredit (AKPK).
- Sokongan veterinar untuk pengurusan ternakan dan lain-lain.

Acara seumpama ini memberi peluang kepada Pemimpin Komuniti WOW untuk mengaplikasikan latihan mereka dalam kerja berpasukan, perancangan projek, yang turut melibatkan pihak berkepentingan, sekaligus memberikan mereka peluang untuk menonjolkan kemahiran kepimpinan dan mencadangkan inisiatif-inisiatif baharu yang boleh diaplikasi di kawasan setempat.
Hal ini kerana, Pemimpin Komuniti WOW memiliki peranan yang penting di kampung masing-masing. Merekalah yang menyelaras inisiatif tempatan, memudahkan pembelajaran rakan sebaya, dan menjadi sumber rujukan apabila timbul cabaran.
Maka tak hairanlah, penglibatan mereka diperlukan untuk mengekalkan impak program dan mewujudkan sistem sokongan yang berkembang dari dalam komuniti itu sendiri.
Korang berminat nak menyumbang dan menjadi sebahagian daripada komuniti WOW di Sabah?
Layari untuk maklumat lanjut.





