24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Populariti Sebagai Pempengaruh Bukan Tiket Automatik Jadi Pelakon, Imranul Effendy Terus Asah Bakat

    Shopee Sale

    Sebelum namanya semakin kerap muncul dalam drama, Imranul Effendy terlebih dahulu dikenali sebagai pempengaruh dan penari yang aktif menghasilkan kandungan di media sosial.

    Di ruang digital, dia sudah terbiasa berhadapan kamera. Gerak tubuhnya lincah, personalitinya mudah mencuri perhatian dan setiap kandungan pula boleh dirakam semula sehingga mendapat hasil yang diinginkan.

    Namun apabila melangkah ke set penggambaran, Imranul yang kini muncul sebagai Mohsin, hero drama bersiri Tonton Vertical Bru: Masin & Manis sedar populariti di media sosial tidak secara automatik menjadikan seseorang itu seorang pelakon.

    ARTIKEL BERKAITAN: Imranul Effendy Dedah Pernah Ditawar Ribuan Ringgit, Individu Minta Gambar Tak Senonoh

    ARTIKEL BERKAITAN: Fareez Fauzi, Imranul Effendy & Mat Alip Juara All Star Championship, Bawa Pulang RM50,000 Setiap Seorang

    Drama Vertikal Menjadi Sekolah Pertama

    Di hadapan kamera lakonan, setiap gerakan membawa makna. Cara berdiri, bercakap, memandang dan menyampaikan dialog perlu disesuaikan dengan watak, bukannya lagi berdasarkan personaliti dirinya sendiri.

    “Dahulu saya aktif menari, sekarang semakin aktif berlakon. Apabila masuk dalam bidang ini, banyak perkara yang perlu saya perbaiki seperti postur badan, cara bercakap dan cara bergerak di hadapan kamera.

    “Semua itu masih baharu untuk saya. Tetapi daripada satu set ke satu set, saya belajar untuk meningkatkan persembahan.”

    Perjalanan Imranul dalam dunia lakonan banyak bermula menerusi drama vertikal, sebuah format yang bergerak pantas dan menuntut penyampaian lebih segera.

    Menurutnya, rentak drama vertikal berbeza daripada drama konvensional kerana ruang untuk membina emosi dan perkembangan watak lebih terhad.

    Walaupun sudah beberapa kali diberikan watak utama dalam drama vertikal, Imranul masih menganggap dirinya baharu dalam naskhah drama biasa.

    Justeru, setiap peluang yang hadir tidak mahu dipandang ringan.

    “Saya lebih banyak pengalaman dalam drama vertikal dan baru berjinak-jinak dengan drama biasa. Jadi saya sangat bersyukur apabila diberikan peluang ini dan tidak mahu mensia-siakannya.”

    Buat Imranul, drama vertikal bukan laluan mudah atau sekadar jambatan yang menggunakan popularitinya sebagai pempengaruh.

    Sebaliknya, format itu menjadi sekolah pertama yang mengajarnya tentang disiplin produksi, pemahaman watak serta tanggungjawab untuk membuatkan penonton percaya terhadap cerita yang disampaikan.

    Tidak Cukup Hanya Pandai Berdepan Kamera

    Salah satu tanggapan yang sering dilemparkan terhadap pempengaruh yang beralih ke bidang lakonan adalah mereka hanya menjual populariti dan jumlah pengikut.

    MENARIK:  Jofliam Perjelas Pemilihan Nama Anak – ‘Asmara Lebih Romantis & Puitis’

    Imranul bagaimanapun sedar kelebihan sebagai pencipta kandungan hanya membantunya untuk lebih selesa di hadapan kamera. Selebihnya, kemahiran lakonan tetap perlu dipelajari dari bawah.

    Dia tidak menafikan masih terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, namun pada masa sama yakin usaha yang dilakukan bukan sekadar sambil lewa.

    “Saya jujur, dari segi lakonan memang masih banyak yang perlu saya pelajari. Tetapi saya yakin saya bukan kaku atau kayu.

    “Sebelum masuk ke set, saya akan memberikan sepenuh usaha untuk melakukan yang terbaik.”

    Kesungguhannya bukan hanya hadir melalui kata-kata. Imranul mengikuti kelas lakonan bersama Zul Huzaimy, selain mendapatkan latihan bersama Revolution Stage.

    Dia turut menghubungi tenaga pengajar dan pelakon berpengalaman untuk mendapatkan maklum balas terhadap persembahannya.

    Bagi Imranul, menjadi pelakon bukan tentang menunggu tawaran demi tawaran, tetapi tentang kesediaan untuk belajar setiap kali peluang diberikan.

    Mahu Watak Yang Memaksanya Keluar Daripada Diri Sendiri

    Kesungguhan Imranul terhadap bidang lakonan turut terlihat melalui keberaniannya untuk mencuba watak yang jauh daripada personaliti sebenar.

    Dalam watak Mohsin, misalnya, dia perlu membawa karakter yang mengalami gangguan keresahan serta sukar berhadapan dengan orang ramai.

    Oleh sebab tidak pernah melalui situasi tersebut, Imranul mendapatkan rujukan daripada kenalan yang pernah mengalami serangan keresahan.

    Dia memerhatikan reaksi fizikal seperti tubuh menggigil, pandangan yang tidak tenang, kesukaran untuk duduk diam dan kecenderungan untuk berfikir secara berlebihan.

    Pengalaman itu membuka keinginannya untuk meneroka watak yang lebih mencabar pada masa hadapan, termasuk karakter orang kurang upaya atau individu dengan keadaan tertentu yang menuntut persediaan lebih mendalam.

    Malah, dia sanggup melakukan perubahan fizikal seperti membotakkan kepala atau mengubah bentuk badan sekiranya diperlukan oleh watak.

    Ini kerana bagi Imranul, lakonan bukan lagi sekadar peluang untuk muncul di hadapan kamera. Ia adalah ruang untuk hidup sebagai orang lain dan membuatkan penonton turut merasakan perjalanan karakter tersebut.

    Saksikan lakonan Imranul sebagai Mohsin, bergandingan dengan Ellyza Azizi dan Siti Hariesa dalam drama bersiri Tonton Vertical, Bru: Masin & Manis, eksklusif di aplikasi Tonton.

    The post Populariti Sebagai Pempengaruh Bukan Tiket Automatik Jadi Pelakon, Imranul Effendy Terus Asah Bakat first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah