24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Perang Di Iran Naikkan Harga Minyak? Barang Dapur, Ubat & Kos Harian Mungkin Ikut Terjejas

    Shopee Sale

    Ramai menganggap konflik yang berlaku di luar negara hanya akan menyebabkan kenaikan harga minyak. Hakikatnya, apabila rantaian bekalan global terganggu, kesannya jauh lebih besar daripada itu.

    Bekalan makanan, ubat-ubatan, baja, bahan mentah industri sehinggalah kos pengangkutan boleh menerima tempias. Semua faktor ini boleh memberi tekanan kepada kos pengeluaran dan harga barangan keperluan harian.

    Situasi inilah yang dikenali sebagai Krisis Bekalan Global. Keadaan apabila bekalan bahan mentah, tenaga atau produk penting terganggu akibat peperangan, konflik geopolitik, bencana alam atau masalah logistik antarabangsa. Apabila bekalan menjadi terhad dan kos meningkat, kesannya akan dirasai di seluruh rantaian ekonomi, daripada pengilang dan peruncit sehinggalah kepada pengguna.

    Krisis bekalan global semakin menghampiri

    Konflik yang tercetus di Iran dan rantau Timur Tengah telah menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga dunia. Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung, sebarang gangguan di laluan perdagangan atau bekalan minyak global mampu memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa.

    Dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain, gangguan di sebuah negara boleh memberi kesan kepada negara lain. Apatah lagi, apabila laluan perdagangan terganggu sehingga menyebabkan kos penghantaran meningkat atau bekalan tenaga menjadi terhad. Maka, kos pengeluaran turut meningkat.

    Kenaikan kos ini kemudiannya dipindahkan kepada pengilang, pemborong dan peruncit sebelum akhirnya dirasai oleh pengguna melalui harga barangan yang semakin mahal.

    Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata

    “Kesannya mungkin akan dirasai secara berperingkat, bermula dengan kos bahan api dan logistik sebelum melibatkan bahan mentah petrokimia, plastik, baja, pembuatan dan pembinaan. Akhirnya, ia akan melibatkan isi rumah melalui tekanan kos sara hidup yang lebih luas.”

    Walaupun bekalan makanan dan keperluan asas negara masih kekal stabil , persediaan awal amat penting supaya rakyat lebih bersedia sekiranya ketidaktentuan global berpanjangan.

    5 langkah bijak yang rakyat Malaysia boleh ambil dari sekarang

    1. Rancang pembelian mengikut keperluan

    Apabila timbul berita mengenai konflik atau gangguan bekalan, elakkan membuat pembelian panik. Sebaliknya, sediakan senarai barang yang benar-benar diperlukan sebelum membeli-belah.

    Perancangan yang baik bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan, malah mengelakkan pembaziran dan memastikan bekalan dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh semua pengguna.

    2. Bandingkan harga sebelum membeli

    Harga sesuatu barangan boleh berbeza antara satu premis dengan premis yang lain.

    Pengguna boleh memanfaatkan platform seperti PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membandingkan harga barang keperluan di kawasan berhampiran sebelum membuat pembelian.

    Langkah mudah ini boleh membantu pengguna mendapatkan harga yang lebih berpatutan, terutamanya ketika berlaku turun naik harga.

    3. Kurangkan pembaziran makanan

    Pembaziran makanan sebenarnya memberi kesan terus kepada perbelanjaan isi rumah.

    Amalan seperti membeli mengikut keperluan, menyimpan makanan dengan betul dan menggunakan lebihan makanan secara kreatif boleh membantu mengurangkan kos bulanan tanpa menjejaskan keperluan keluarga.

    MENARIK:  Jangan Terlalu Awal, Ini Waktu Paling Sesuai Buat Ujian UPT Kehamilan

    Perubahan kecil di rumah mampu memberi penjimatan yang besar dalam jangka panjang.

    4. Gunakan tenaga dengan lebih cekap

    Apabila harga tenaga global meningkat, kos elektrik dan bahan api turut berpotensi menerima tekanan.

    Mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah seperti mematikan peralatan elektrik yang tidak digunakan, menggunakan peralatan cekap tenaga serta merancang perjalanan dengan lebih baik dapat membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah.

    5. Dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih

    Ketika berdepan situasi tidak menentu, pelbagai maklumat tidak tepat mudah tersebar di media sosial.

    Orang ramai disaran mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi kerajaan atau agensi berkaitan supaya tidak membuat keputusan kewangan berdasarkan khabar angin atau berita yang mengelirukan.

    Walaupun langkah-langkah ini kelihatan kecil, ia mampu membantu meningkatkan daya tahan rakyat dan negara apabila berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

    Kerajaan turut ambil pelbagai langkah kurangkan impak krisis bekalan global

    Malaysia tidak mampu mengawal konflik di luar negara, namun kerajaan boleh mengambil langkah bagi mengurangkan kesannya kepada rakyat. 

    Bagi memastikan rakyat terus dilindungi daripada tekanan kos sara hidup, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan Krisis Bekalan Global.

    Antara langkah yang diteruskan termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) serta BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu golongan yang memerlukan. Semua ini memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya.

    Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuhkan sokongan kepada sektor logistik, pertanian dan perusahaan bagi memastikan rantaian bekalan negara terus berfungsi dengan baik serta mengurangkan gangguan terhadap bekalan makanan dan barangan keperluan.

    Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup, memastikan bekalan keperluan asas kekal stabil serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global.

    Malaysia perlu bersedia hadapi ketidaktentuan global

    Krisis Bekalan Global mungkin tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Namun dengan persediaan yang lebih baik, tindakan kerajaan yang berterusan dan perubahan kecil dalam cara kita mengurus perbelanjaan harian, Malaysia mampu berada pada kedudukan yang lebih baik. Ini boleh dicapai jika kerajaan, industri dan rakyat terus memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi krisis ini.

    Tan Sri Mohd Hassan Marican turut mengingatkan bahawa Malaysia pernah melalui pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini dan rakyat tidak perlu panik.

    “Malaysia pernah menghadapi kejutan global yang besar sebelum ini dan apa yang penting sekarang adalah untuk kekal tenang, mendapat maklumat lengkap dan jelas dan bersedia ketika kita mengharungi persekitaran global yang lebih tidak menentu,” katanya.

    Dalam dunia yang semakin saling berkait, memahami bagaimana krisis bekalan global boleh mempengaruhi kehidupan seharian adalah langkah pertama untuk menjadi pengguna yang lebih bersedia dan berdaya tahan.

    Sumber rujukan:

    The post Perang Di Iran Naikkan Harga Minyak? Barang Dapur, Ubat & Kos Harian Mungkin Ikut Terjejas first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah