Pelakon dan penyanyi Fazura, kini tampil dengan buah tangan terbaharu iaitu single berjudul Kisah Terbaik yang mengetengahkan tema kekuatan diri dan harapan.
Artikel Berkaitan: Fazura Bagi ‘Green Light’, Terima Lagu Ciptaan Aiman Sidek – ‘I Already Said Yes’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Buat Lagu Untuk Fazura, Tapi Belum Ada Rezeki Kami Bekerjasama’ – Aiman Sidek
Lagu baru Fazura

Menurut Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, lagu tersebut bukan hanya berkisarkan tentang cinta semata-mata tetapi membawa mesej yang lebih luas.
Bagi saya, ‘Kisah Terbaik’ bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita.
Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu.
Selain itu, Kisah Terbaik dilihat bukan sahaja mempunyai lirik yang bermakna namun melodinya juga telah menghidupkan lagi lagu ini.
Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan.
Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya.
Tambah ibu kepada seorang anak itu, mesej yang terkandung di dalam lagu tersebut juga sangat dekat dengan perjalanan hidupnya.
Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan.
Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah.
Fazura turut menyifatkan lagu hasil karya komposer, penulis lirik dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey itu berjaya menginterpretasikan setiap emosi yang ingin disampaikan.
Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.
Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas.
Harapan

Justeru, Fazura berharap single terbaharunya itu menjadi sumber kekuatan kepada para pendengar, khususnya buat mereka yang sedang berdepan dengan fasa sukar.
Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap ‘Kisah Terbaik’ dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.
Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami, atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya.
Untuk info, Kisah Terbaik kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.
The post ‘Lagu Kisah Terbaik Bukan Sekadar Cinta, Tetapi Tentang Menerima Setiap Pengalaman Yang Membentuk Diri’ – Fazura first appeared on OHBULAN!.





