Konsert Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember depan di Idea Live Arena terpaksa dibatalkan selepas pihak penganjur, Sah Entertainment bersama Universal Music menilai semula keseluruhan persiapan acara.
Artikel Berkaitan: Kontroversi Penampilan Seksi, Universal Music Turunkan Video Muzik ‘Question’ Dolla
Isu teknikal & kekangan masa

Pengarah Sah Entertainment, Sufie Rashid, berkata keputusan itu dibuat setelah melihat beberapa kekangan, terutamanya dari aspek teknikal, keselamatan dan tempoh persediaan yang semakin suntuk.
Menurut Sufie, selepas melakukan semakan menyeluruh, pihak penganjur mendapati persiapan akhir konsert tidak dapat disempurnakan dalam masa yang ditetapkan.
Selepas menilai semula keseluruhan garis masa persiapan acara, termasuk aspek keselamatan, teknikal, kelulusan yang diperlukan dan persediaan operasi, kami mendapati persiapan akhir acara mungkin tidak dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan.
Meneruskan acara dalam keadaan yang tidak menentu ini boleh membawa risiko yang tidak perlu, termasuk kemungkinan gangguan acara pada saat akhir dan ini akan menjejaskan semua pemegang tiket.
Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan artis, kru, pasukan venue dan terutama sekali para peminat. Kami enggan menyampaikan persembahan yang kurang daripada apa yang terbaik daripada Dolla.
Tambah Sufie, pasukannya komited untuk menyajikan persembahan pada standard terbaik, namun kekangan jadual menyebabkan mereka bimbang tidak mampu memberikan seperti yang dirancang.
Selepas mengambil kira risiko dan kualiti acara, pihak penganjur akhirnya bersetuju untuk menghentikan penganjuran konsert tersebut dan memulakan proses pemulangan wang dengan segera.
Kami percaya pada penganjuran persembahan yang menepati standard tertinggi dari segi keselamatan, kualiti dan pengalaman.
Setelah melalui perbincangan teliti serta penilaian risiko, kami mendapati meneruskan acara mengikut garis masa semasa berpotensi menjejaskan kualiti keseluruhan acara. Kami akan memproses semua pemulangan wang (refund) dengan segera.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut mengakui pembatalan ini pasti mengecewakan peminat setia Dolla, khususnya iDolla.
Katanya, keputusan itu bukan sesuatu yang dibuat sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan kumpulan yang mempunyai pengaruh besar.
Buat para peminat Dolla yang setia, kami turut merasai kekecewaan kalian dan tahu betapa tinggi harapan yang telah terbina untuk persembahan ini.
Membatalkan sesebuah acara bukanlah keputusan mudah, terutamanya apabila melibatkan kumpulan hebat seperti Dolla dan hubungan mereka dengan peminat iaitu iDolla.
Kami dengan tulus memohon maaf atas segala kesulitan dan rasa kecewa yang timbul namun komitmen kami untuk memastikan pengalaman yang sempurna serta selamat kekal menjadi keutamaan kami.
Sumber: Instagram
The post Konsert Dolla Batal, Penganjur Akui Kekangan Masa & Wang Tiket Dipulangkan first appeared on OHBULAN!.





