Amanah mempertahankan pencalonan Sharon Teo di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, sambil menegaskan dia bukan calon payung terjun seperti yang didakwa sebahagian pimpinan parti di peringkat kawasan.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pencalonan Teo dibuat secara teliti selepas melalui beberapa proses tapisan dan perbincangan di peringkat kepimpinan.
"Amanah menegaskan bahawa Sharon Teo bukanlah calon payung terjun memandangkan dia telah bergiat aktif dengan Amanah sejak 2018.
"Sharon pernah menyandang jawatan penolong setiausaha Amanah Johor bagi sesi 2021 hingga 2023 sebelum dilantik sebagai Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Johor sejak 2023," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada sidang media beberapa anggota Jawatankuasa Pimpinan Amanah Pasir Gudang yang membantah pencalonan Teo atas alasan calon payung terjun.
Mereka sebaliknya mahu Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang Syed Othman Abdullah untuk bertanding di DUN itu bagi menentang calon BN Baharudin Mohamed Taib sebagai penyandang.
Teo adalah satu-satunya calon bukan Melayu dan bukan Islam parti itu dalam pilihan raya negeri tersebut.
Sementara itu, Faiz berkata pencalonan Teo turut mencerminkan komitmen Amanah dalam mengangkat suara golongan muda dan wanita dalam arena politik negara.
"Amanah yakin dengan kemampuan Sharon Teo sebagai calon kerusi DUN Permas yang merupakan anak jati Johor dan pencalonannya adalah bagi membuktikan citra Amanah yang mahu mengangkat suara golongan muda dan wanita dalam persada politik Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, Amanah menggesa kepimpinan kawasan di Pasir Gudang supaya merapatkan saf dan memberi tumpuan kepada usaha memenangkan calon PH di kawasan berkenaan.
Tambahnya, kemenangan dalam PRN Johor bukan sekadar untuk individu yang bertanding, sebaliknya bagi memastikan Amanah dapat menyumbang kerusi kepada PH dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang baru.
Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dilaporkan menegaskan tiada masalah untuk parti itu meletakkan calon bukan Melayu di kerusi DUN Permas.
Dalam pilihan raya 2023, BN menang dengan majoriti hampir 8,000 di DUN yang mempunyai hampir 60,000 pengundi itu.
Pertembungan di kerusi selatan Johor itu ketika itu menyaksikan pertandingan lima penjuru yang turut melibatkan Warisan, Pejuang dan Bebas.





