31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 24, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ronaldo 41 tahun masih berbisa, Portugal benam Uzbekistan 5-0

    Shopee Sale

    Cristiano Ronaldo melakar sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia FIFA ketika membantu Portugal membelasah pasukan petaruh baharu, Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

    Selepas mensia-siakan dua peluang keemasan pada minit-minit awal permainan, Portugal membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Ronaldo yang menyempurnakan hantaran lintang Joao Cancelo untuk gol kesembilannya dalam sejarah Piala Dunia.

    Gol pembukaan itu turut menyaksikan kapten Portugal berusia 41 tahun itu muncul sebagai penjaring kedua tertua dalam sejarah kejohanan di belakang Roger Milla, yang meledak gol pada usia 42 tahun ketika menentang Rusia pada edisi 1994.

    Portugal menggandakan kelebihan pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma menarik oleh pertahanan kiri, Nuno Mendes, yang mengelirukan pertahanan lawan apabila tumpuan terarah kepada Ronaldo sebelum itu.

    Peluang terbaik Uzbekistan pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-29 apabila pemain tengah, Azizjon Ganiev melakukan rembatan jarak jauh yang cantik menerjah jaring. Bagaimanapun, gol berkenaan dibatalkan selepas semakan sistem Pembantu Pengadil Video (VAR) mengesan kekasaran dalam gerakan awal.

    Ronaldo kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu pada minit ke-39 selepas menyudahkan hantaran peranancang tengah, Bruno Fernandes. Jaringan itu sekali gus menyaksikan beliau mengatasi legenda Eusebio sebagai penjaring terbanyak Portugal dalam sejarah Piala Dunia.

    MENARIK:  Menteri khuatir Siti tak mahu lagi buat persembahan sukarela

    Meskipun Uzbekistan cuba bangkit mencipta peluang pada awal separuh masa kedua, gawang mereka bocor lagi pada minit ke-60 akibat situasi kelam-kabut daripada sepakan sudut, sebelum penjaga gol Abduvohid Nematov tertampan bola ke gawang sendiri.

    Pemain gantian, Rafael Leao melengkapkan malam gemilang Portugal dengan gol kelima pada minit ke-87 — hanya empat minit selepas dimasukkan — menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti.

    Kemenangan itu meletakkan Portugal di tangga teratas Kumpulan K dengan berbaki satu perlawanan, manakala Uzbekistan masih memburu mata pertama dalam kempen sulung Piala Dunia mereka.

    Dalam perlawanan pembukaan sebelum ini, Portugal sekadar terikat 1-1 dengan satu lagi pasukan baharu, Republik Demokratik Congo (DR Congo), manakala Uzbekistan tewas 1-3 kepada naib juara Copa America 2024, Colombia.

    Satu lagi aksi Kumpulan K menyaksikan pertembungan antara Colombia dan DR Congo di Estadio Guadalajara, Mexico. Pada perlawanan terakhir kumpulan nanti, Portugal dijadualkan menentang Colombia, manakala Uzbekistan akan berdepan DR Congo.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah