PARLIMEN | Pindaan undang-undang jalan raya yang menaikkan had maksimum kompaun kepada RM500 bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan atau menambah hasil kerajaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Sebaliknya, Loke berkata langkah itu diambil semata-mata demi meningkatkan tahap pematuhan peraturan jalan raya dalam kalangan pengguna di negara ini.
"Saya ingin jelaskan bahawa kenaikan kadar kompaun maksimum kepada RM500 bukan bermaksud semua kesalahan akan dikenakan kompaun RM500. Ia adalah had maksimum.
"Pelaksanaan kompaun masih boleh mengambil kira jenis kesalahan, tahap keseriusan, tempoh bayaran dan dasar pelaksanaan yang akan ditetapkan.
"Kenaikan ini bukan bertujuan menambah hasil kerajaan. Tujuan utama ialah meningkatkan pematuhan," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Shahiddan Kassim (Arau-PN) menyatakan bantahan keras terhadap cadangan untuk menaikkan had maksimum kompaun kesalahan jalan raya daripada RM300 kepada RM500.
"Sejumlah seksyen ini sekarang didenda RM300 tapi dicadangkan kenaikan ke RM500. Kenapa dinaikkan ke RM500? Rakyat sekarang ini nak bayar RM300 pun teruk.
"Jadi kita nak cadangkan supaya kerajaan kembali kepada RM300 dan merujuk beberapa model pembayaran daripada negara ini (luar negara).
"Kita ambil model Finland, yang membolehkan bayaran secara beransur-ansur dan Sweden, yang membenarkan bayaran denda berkadar dengan kemampuan kewangan seseorang individu," katanya ketika membahas RUU tersebut.
Dia juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan kaedah pembayaran saman secara ansuran bagi mengurangkan beban kewangan rakyat yang kini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, Malaysia sewajarnya mencontohi model penguatkuasaan yang dilaksanakan di beberapa negara Eropah.
Sementara itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban bersetuju dengan pandangan Azli Yusof (PH-Shah Alam) dan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) bahawa hukuman denda semata-mata tidak memadai untuk mendidik pemandu.
Sehubungan itu, Loke menjelaskan kerajaan sedang memperkukuh sistem mata demerit (Kejara), kursus semula, serta pendidikan bagi memastikan pesalah tegar menerima pengajaran sewajarnya.
"Kerajaan sedang dan akan terus memperkukuh sistem Kejara supaya kesalahan berulang boleh memberi kesan kepada kelayakan memandu, bukan sekadar diselesaikan melalui bayaran kompaun," katanya lagi.
Sementara itu, mengenai cadangan untuk mewujudkan mekanisme pampasan khas kepada mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk atau melulu, Loke memaklumkan perkara itu tidak dimasukkan dalam pindaan RUU kali ini.
Menurutnya, pengenalan pampasan tersebut memerlukan penelitian dasar yang lebih menyeluruh kerana ia melibatkan implikasi yang kompleks terhadap undang-undang sivil, industri insurans, keupayaan pesalah untuk membayar, serta bentuk tanggungan waris.
"Prinsip kerajaan adalah jelas, mangsa dan keluarga tidak boleh dibiarkan menanggung derita sendirian selepas tragedi berlaku.
"Oleh sebab itu, kerajaan sedang dalam proses mendapatkan kelulusan dasar daripada Jemaah Menteri sebelum draf pindaan seterusnya dimuktamadkan bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain," katanya.
Katanya, Loke menegaskan bahawa kementeriannya memandang serius pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah memandangkan ia melibatkan risiko nyawa orang awam yang tidak bersalah.
"Meskipun Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sedia ada sudah memperuntukkan hukuman berat seperti penjara dan denda tinggi, aspek pencegahan awal masih perlu dipertingkatkan.
"Kerajaan sedar bahawa isu ini tidak selesai dengan hukuman selepas kemalangan berlaku.
"Pencegahan perlu diperkukuh melalui operasi di lokasi berisiko, penggunaan alat pengesanan, pemeriksaan rawak yang bersasar, kempen kesedaran dan tindakan tegas terhadap pesalah," katanya.





