Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli (empat, kanan) ketika menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengurus Besar Unit Kerajaan MPB Omnia, Shanaz Md Azali (tiga, kanan) dan Pengurus Besar Acara dan Pengaktifan Media Prima Omnia, Eileen Lim (dua, kanan) pada Majlis Perhimpunan Setia Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Dewan Sentral RAC, Kementerian Pengangkutan Malaysia. – Foto NSTP/ Ahmad Ukasyah
Sempena ulang tahun ke-80, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tampil dengan pendekatan lebih dekat dengan rakyat menerusi penganjuran Karnival Mega JPJ MADANI 2026.
Acara yang julung kali diadakan ini adalah dengan kerjasama Media Prima Berhad dan bakal berlangsung meriah di Pulau Pinang dari 24 hingga 26 April.
Karnival berskala besar ini akan berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang dan menjadi antara acara terbesar pernah dianjurkan oleh JPJ. Menariknya, ia juga akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, inisiatif ini bukan sekadar penganjuran acara, tetapi mencerminkan usaha jabatan dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada masyarakat.
Apa yang membezakan kali ini adalah pendekatan yang lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan, tetapi juga keprihatinan dalam menyantuni rakyat.
Kerjasama strategik bersama Media Prima Berhad turut memberi kelebihan apabila platform Karnival Jom Heboh digunakan bagi menarik lebih ramai penyertaan daripada orang ramai.
Selain itu, kehadiran wakil Media Prima Omnia seperti Pengurus Besar Unit Kerajaan Media Prima Omnia, Shanaz Md Azali serta Pengurus Besar dan Pengaktifan Media Prima Omnia, Eileen Lim turut menunjukkan komitmen bersama dalam menjayakan program ini.
Menurut Aedy Fadly, penganjuran melalui kerjasama strategik bersama Media Prima Berhad, sekali gus memanfaatkan platform Karnival Jom Heboh yang mempunyai capaian luas dan keupayaan menarik penyertaan masyarakat.
“Ini kali pertama dalam sejarah kita adakan program karnival besar-besaran dengan kerjasama strategik Media Prima dan kehadiran rakan strategik ini mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
“Kita sentiasa menyokong usaha agensi-agensi swasta untuk bersama-sama dengan JPJ untuk kita hebahkan inisiatif keselamatan jalan raya kepada rakyat,” tambahnya.
Sepanjang tiga hari penganjuran, karnival ini dijangka menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara JPJ dan rakyat, di samping menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara lebih santai dan berkesan.
The post JPJ Anjur Karnival Mega MADANI, Jalin Kerjasama Strategik Bersama Media Prima Berhad first appeared on OHBULAN!.





