
Diinspirasikan daripada kisah silat pengasas Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), filem Gayong mengangkat warisan Melayu ke layar perak.
Angkat warisan Melayu

Pengarahnya, Faisal Ishak berkata dia yakin filem berkenaan adalah naskhah yang dinantikan peminat-peminat filem tempatan.
Saya merasakan Gayong tidaklah sekadar filem aksi semata-mata, tetapi ia juga platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.
Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton bukan sahaja menikmati aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan.
Mengenai pembabitannya dalam penerbitan filem ini, Faisal mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk membikin filem daripada sebuah cerita yang diinspirasikan daripada kisah seorang tokoh persilatan terkemuka.
Jelasnya, cabaran yang dihadapi bukan sekadar dalam aspek teknikal dan produksi namun lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.
Sebagai pengasas seni silat Gayong, arwah bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.
Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat Gayong.
Pelakon jalani latihan

Bagi memastikan filem Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, Faisal memaklumkan setiap barisan pelakon telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi iaitu Yayan serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.
Menurutnya, ia adalah langkah penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik, dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap warisan tersebut.
Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong.
Pada masa sama, pengarah berkenaan mahu filem arahannya itu menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.
Difahamkan, filem tersebut telah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga ADMAR sendiri terutamanya anak perempuan dan cucu arwah.
Filem tersebut menampilkan barisan pelakon popular seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan bakal menemui penonton 8 Mei depan.





