30.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    1,481 anggota tentera, pasangan undi awal di Pusasda, 979 anggota polis di IPK

    Shopee Sale

    Sebanyak 1,481 anggota tentera serta pasangan akan mengundi awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Port Dickson, hari ini.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian berkenaan yang membabitkan 11 saluran itu berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang.

    Kesemua anggota keselamatan negara itu akan mengundi wakil rakyat baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

    DUN Bagan Pinang menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Abdul Fatah Zakaria daripada Perikatan Nasional (PN), Sheikh Junaidy Jamaludin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Nasir Raman daripada Pakatan Harapan (PH).

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota dan pegawai tentera serta pasangan telah mula menunggu seawal 7 pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal.

    Suasana pengundian awal berlangsung dalam suasana cuaca redup.

    Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman turut dijangka meninjau proses pengundian awal di PUSASDA pada 11 pagi.

    Sementara itu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, sebanyak 979 anggota dan pegawai polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi bagi DUN Temiang.

    ASP Harminder Singh Pritam Singh menjadi pengundi awal pertama di Saluran 1 yang menunaikan tanggungjawab di IPK Negeri Sembilan di Seremban, pagi ini.

    MENARIK:  Hujan berterusan di Kelantan, Terengganu dan Perak hingga esok

    Turut selesai mengundi ialah Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang sebelum ini ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dan bekas Ketua Polis Negeri Sembilan.

    DUN Temiang menyaksikan pertandingan tiga menjuru antara Ho Weng Wah (PH), Leaw Kok Chan daripada Barisan Nasional (BN) dan Fazly Hamid (Bersatu).

    Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad turun meninjau proses undi awal di IPK Negeri Sembilan sebelum mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, 11 pagi ini.

    Proses pengundian awal yang berlangsung di 38 pusat pengundian di seluruh negeri akan ditutup secara berperingkat mengikut lokasi dengan 18 pusat pengundian awal akan ditutup pada 12 tengah hari, dua pusat mengundi pada 2 petang, manakala baki 18 lagi ditutup pada 5 petang.

    Sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan layak mengundi pada PRN kali ini.

    Hari pengundian biasa bagi PRN berkenaan ditetapkan pada Sabtu ini.

    Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari .

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah