PRN NEGERI SEMBILAN l Timbalan exco Johor yang baru dilantik, Chan San San menerima kritikan selepas menggambarkan Bahau di Negeri Sembilan sebagai "tempat burung tidak bertelur" ketika berkempen untuk calon BN, Chong Fui Ming, malam semalam.
Dalam bahasa Mandarin, "tempat burung tidak bertelur" adalah metafora lazim yang menggambarkan kawasan terpencil, sunyi atau tidak membangun.
Kenyataan yang dibuat semasa majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan Cina Bahau itu disiarkan secara langsung dan kemudiannya tular di media sosial.
Dalam video tersebut, Chan berkata dia berharap Bahau akan melihat pembangunan yang lebih pesat dan tidak lagi dianggap sebagai kawasan yang terpinggir.
"Saya berharap apabila saya datang ke sini lagi pada masa akan datang, saya tidak perlu memberitahu ayah saya supaya tidak datang ke tempat burung tidak bertelur ini.
“Maaf, ini mungkin menyinggung perasaan sesetengah daripada kamu tetapi saya percaya dengan usaha semua orang, Bahau akan mempunyai pembangunan yang lebih baik pada masa depan." katanya
Chan baru-baru ini memenangi kerusi Johor Jaya pada pilihan raya negeri Johor.
'Jangan datang Bahau'
Dalam satu hantaran di Facebook, dia berkata Dewan Perniagaan Cina Bahau dan Dewan Perniagaan Cina Iskandar Puteri telah menandatangani memorandum persefahaman untuk menjalin hubungan serantau, bagi mengubah Bahau menjadi "telur emas" yang mampu menarik lebih banyak pelaburan asing.

Walau bagaimanapun, kenyataannya mengenai "burung tidak bertelur" itu mendapat reaksi balas daripada warga maya, dengan sesetengah pihak menuduhnya menghina penduduk tempatan dan tidak memahami situasi di Bahau.
Malah, ada yang menuntut agar dia menjelaskan kenyataan itu, manakala yang lain berkata, dia tidak dialu-alukan di Bahau dan menganggap ulasan tersebut telah menjejaskan kempen BN.
Calon DAP, Teo Kok Seong, yang juga penyandang kerusi Bahau, dilihat memberi maklum balas terhadap kontroversi itu dengan memuat naik ucapan selamat pagi di Facebook hari ini dengan memaparkan gambar burung.
Imej tersebut menunjukkan burung-burung sedang berterbangan dan bertenggek di atas talian elektrik, berserta kata-kata "Selamat pagi, ingat untuk berikan senyuman kepada diri sendiri setiap hari", yang turut memuatkan logo undi PH.
Teo tidak menyebut secara langsung kenyataan Chan, sebaliknya hanya menulis: "Selamat pagi, Bahau. Semoga minggu anda berjalan lancar dan segala urusan dipermudahkan."
Bukan kali pertama
Secara berasingan, Timbalan Speaker Pahang yang juga Adun Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen mengkritik MCA kerana sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang menghina pengundi Negeri Sembilan.

Dia membangkitkan bahawa empat tahun lalu, Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun pernah menggambarkan Pekan Titi di Chennah sebagai "shan ka la".
Wong, yang ketika itu merupakan calon MCA bagi Bilut, kemudiannya memohon maaf kerana menggunakan istilah bahasa pasar Kantonis yang merujuk kepada kawasan hulu atau terpencil.
"Berapa lama lagi MCA berhasrat untuk menghina pengundi Negeri Sembilan? Apa yang telah Negeri Sembilan lakukan hingga menyinggung perasaan MCA?" soal Lee.
Dia seterusnya menggesa pengundi supaya mengajar parti itu di peti undi.





