Masalah seksual lelaki seperti masalah mati pucuk (ED) dan pancut awal (PE) semakin membimbangkan dengan dua daripada tiga lelaki berisiko mengalaminya sepanjang hayat.
Artikel Berkaitan: ‘Pakai Seluar Ketat Risiko Air Mani Atau Sperma Lelaki Jadi Kurang Subur’
Malu dengan masalah sendiri

Malah, masalah itu bukan sahaja jejaskan keyakinan, tapi juga keharmonian rumah tangga.
Menurut Pengarah Urusan HIM Wellness, Dr. Ahmad Samhan, ramai lelaki masih memilih untuk berdiam diri kerana rasa malu sehingga akhirnya isteri yang terpaksa tampil mendapatkan bantuan.
Kesihatan seksual lelaki bukan sekadar isu individu tetapi memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat.
Apabila lelaki sihat, rumah tangga lebih bahagia, dan produktiviti hidup turut meningkat.
Selain faktor fizikal, masalah kesihatan seksual lelaki turut berkait rapat dengan gaya hidup, tekanan mental dan tahap kesihatan menyeluruh.
Oleh itu, pendekatan moden yang merangkumi pemeriksaan awal, rawatan klinikal, gaya hidup sihat, serta sokongan psikososial adalah kunci kepada penyelesaian jangka panjang.
Dr. Ahmad berkata demikian pada Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Sungai Besi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tidak perlu malu

Sementara itu, Dr. Ahmad menegaskan masalah ED dan PE bukanlah sesuatu yang harus dianggap memalukan.
Katanya, ia berpunca daripada faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tahap hormon rendah, mahupun gaya hidup tidak sihat termasuk stres dan merokok.
Berita baiknya, rawatan dan solusi tersedia dalam pelbagai bentuk menerusi perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengawal paras gula serta bersenam, hinggalah kepada kaedah moden seperti rawatan shockwave yang membantu memulihkan aliran darah zakar.
Selain itu, senaman kegel, teknik kawalan, dan pengambilan makanan tambahan berdaftar yang selamat juga mampu membantu meningkatkan kualiti kesihatan seksual lelaki.
Program tersebut bertujuan membongkar mitos serta memberi pendedahan tentang fakta sebenar berkaitan kesihatan lelaki yang sering dianggap isu taboo.
Sedikit maklumat, Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki adalah perkongsian interaktif bersama pakar kesihatan lelaki dengan memberi fokus kepada mitos dan fakta mengenai kesihatan seksual lelaki.
Ia juga termasuk kepentingan rawatan awal dan gaya hidup sihat serta menggalakkan lelaki tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa malu.
The post Dua Daripada Tiga Lelaki Berisiko Alami Mati Pucuk – ‘Tidak Perlu Malu’ first appeared on OHBULAN!.





