28.5 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kerusi berubah, majoriti rapuh: RUU panas mungkin rebah?

    Shopee Sale

    Blok kerajaan berdepan ujian getir apabila mesyuarat kedua Dewan Rakyat bagi penggal kelima Parlimen ke-15 membuka tirainya hari ini. Sesi kali ini bukan sekadar urusan legislatif lazim, sebaliknya bakal menjadi medan pertempuran politik yang mungkin mengubah landskap kuasa negara.

    Fokus utama pastinya terarah kepada keupayaan kerajaan untuk melepasi ambang sokongan majoriti dua pertiga atau mendapatkan sokongan 148 undi daripada 222 ahli Parlimen.

    Angka keramat ini amat kritikal bagi meluluskan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) 'panas' yang dijadualkan untuk bacaan kali kedua, termasuk RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 yang bertujuan mengasingkan perananan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

    Kebimbangan kerajaan gagal mendapatkan sokongan yang diperlukan bukannya tanpa asas. Pada Mac lalu, blok kerajaan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan secukupnya apabila membentangkan RUU Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Ia gagal mendapat sokongan dua pertiga selepas hanya memperoleh 146 undi—kurang dua undi daripada syarat wajib—akibat tindakan 44 ahli Parlimen berkecuali dan 32 lagi tidak hadir.

    Di atas kertas, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini selesa dengan sokongan sekitar 150 ahli Parlimen. Namun, dinamika itu kini sudah berubah secara drastik.

    Defisit dua kerusi: Kemelut dalaman PKR parahkan keadaan

    Luka kerajaan bertambah parah susulan peletakan jawatan mengejut dua bekas menteri, Rafizi Ramli (Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) pada 17 Mei lalu. Tindakan drastik itu diambil selepas kedua-duanya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan tertinggi PKR.

    Bukan sekadar mengosongkan kerusi, mereka bertindak menubuhkan parti baharu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan menyatakan hasrat untuk merampas semula kubu kuat mereka itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Ketiadaan mereka—ditambah dengan spekulasi beberapa lagi ahli Parlimen PKR yang cenderung menyokong kem Rafizi—meletakkan benteng undi kerajaan dalam keadaan paling rapuh dalam sejarah penggal ini.

    Antara mereka yang disebut-sebut termasuk Rodziah Ismail (Ampang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

    Samsuri ke depan, Muhyiddin ke belakang

    Selain pergolakan blok kerajaan, susunan fizikal Dewan Rakyat hari ini juga mempamerkan 'penceraian' mutlak dalam kem pembangkang. Kedudukan geopolitik parlimen menyaksikan Muhyiddin Yassin (Pagoh-Bersatu)) dipindahkan dari barisan hadapan blok G ke blok E.

    MENARIK:  Sijil halal: Keputusan kajian tertakluk pada majlis raja-raja, kata Zahid

    Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan perubahaan itu dibuat atas permintaan Muhyiddin sendiri.

    Semuanya adalah impak keretakan hubungan antara PAS dan Bersatu yang berlarutan sejak setahun lalu.

    Tempat Muhyiddin kini diisi oleh pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Ahmad Samsuri Mokhtar (Kemaman-PAS).

    Menambah renpah drama, bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin (Larut) yang dipecat oleh Muhyiddin kekal sebagai ketua pembangkang selepas dilantik semula pada 13 Jun lalu. Dia ditempatkan bersebelahan Ahmad Samsuri.

    Uniknya, Hamzah kini menerajui blok pembangkang di bawah bendera parti baharunya, Parti Wawasan Negara. Langkah Hamzah ini menamatkan penguasaan singkat Ahmad Samsuri yang sempat memegang jawatan ketua pembangkang tidak sampai sebulan.

    Tiga RUU sensitif menanti ditentang

    Sepanjang persidangan 16 hari ini, blok pembangkang yang berwajah baharu pastinya akan menggunakan ruang sepenuhnya untuk menekan kerajaan, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang rancak membara menuju hari pengundian pada 11 Julai ini.

    Kerajaan dijangka berdepan jalan parah untuk meluluskan tiga RUU berimpak tinggi:

    • RUU Perlembagaan (No 2) 2026: Pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya—memerlukan sokongan undi dua pertiga..

    • RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025: Sebelum ini ditangguhkan akibat tentangan hebat persatuan penduduk dan ahli Parlimen yang mempertikaikan kadar ambang persetujuan yang rendah serta isu pampasan.

    • RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024: RUU kontroversial yang beberapa kali tertangguh sebelum ini akibat perbezaan pandangan yang tajam.

    Sebagai tambahan, parlimen juga akan menyaksikan pembentangan kali pertama RUU Jenayah Siber 2026 dan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

    Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai depan.

    Melihat kepada landskap Parlimen 2026 yang penuh dengan 'pembelahan' ideologi dan dendam politik terpendam, sidang kali ini bukan lagi sekadar medan legislatif.

    Ia adalah ujian 'hidup atau mati' bagi keabsahan kuasa mutlak Madani di parlimen. Jika strategi rundingan gagal, pasca-sidang ini mungkin menyaksikan kerajaan yang lompang taringnya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah