Sebanyak 51 agensi pengambilan pekerja swasta dari Bangladesh yang terlibat dalam proses penghantaran pekerja ke Malaysia didakwa di Mahkamah Tinggi Dhaka atas tuduhan berkaitan skim penyelewengan pembekalan tenaga kerja asing ke pasaran Malaysia.
Berdasarkan dokumen rasmi (Borang BP-42) dan Lembaran Pertuduhan Tambahan No 130 yang dilihat Malaysiakini, pertuduhan tersebut difailkan pada 16 Jun lalu.
Antara yang didakwa ialah bekas Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed, serta beberapa ahli parlimen negara itu.
Ketika dihubungi, peguam kepada pengadu kes, Md Rafiqul Islam, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
"Anak guam kami memfailkan kes ini demi keadilan pekerja dan bagi mengekang aliran keluar wang haram. Kami mengesahkan bahawa perbicaraan di bawah Kanun Keseksaan akan diteruskan bagi menuntut akauntabiliti pihak yang terlibat.
"Kesemua 51 agensi dan individu terbabit bakal menghadapi perbicaraan jenayah berat di bawah Kanun Keseksaan 1860 atas kesalahan jenayah penipuan, pecah amanah, ugutan jenayah, serta pemerasan kewangan berskala besar," katanya.
Mereka akan dibicara di bawah Seksyen 406: Pelanggaran amanah secara jenayah, Seksyen 420: Penipuan dan dengan tidak jujur mendorong penyerahan harta, Seksyen 385/386: Memeras ugut dan menakut-nakutkan seseorang dengan kematian atau kecederaan teruk dan Seksyen 34: Perbuatan yang dilakukan oleh beberapa orang dengan niat bersama," katanya.
Antara individu berprofil tinggi yang bakal menghadapi perbicaraan ialah ahli politik kanan Hasan Ahmed Chowdhury Kiron, Md Kawsar Mridha, Leftenan Jeneral (B) Masud Uddin Chowdhury dan Golam Mostafa.
Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi Imran, Hasan Ahmed, Kawsar, Masud dan Golam sejak Khamis lalu tidak berjaya.
Malaysiakini turut menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Khas (DB) Polis Dhaka, menerusi laporan bertarikh 22 Mei 2026, mengesyorkan supaya semua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan dan Pembanterasan Pemerdagangan Manusia 2012 terhadap 103 individu dan agensi yang dinamakan sebelum ini digugurkan.
Pegawai penyiasat, Sub-Inspektor Md Raihanur Rahman, menjelaskan hasil siasatan mendapati proses penghantaran pekerja dilakukan secara sah mengikut kelulusan Biro Pekerjaan, Tenaga Kerja dan Latihan (BMET) Bangladesh. Selain itu, pekerja juga didapati menerima gaji secara teratur, sekali gus menolak unsur eksploitasi fizikal di bawah akta berkenaan.
Bagaimanapun, Altab Khan menyifatkan keputusan polis itu sebagai tidak masuk akal.
"Daripada 103 agensi 51 dituduh atas kesalahan penyelewengan pembekalan tenaga kerja asing, tetapi semua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan dan Pembanterasan Pemerdagangan Manusia 2012 digugurkan.
"Saya tidak faham bagaimana pegawai penyiasat boleh mengesyorkan menggugurkan tuduhan pemerdagangan manusia dan memberikan pelepasan (untuk akta tersebut) kepada semua tertuduh.
"Pegawai penyiasat tidak berbincang apa-apa dengan saya. Malah, saya tak pernah dipanggil untuk mengambil keterangan.
"Saya rasa ada pihak mungkin telah bersekongkol dengan tertuduh di bawah arahan atasan... Saya tidak lagi percaya dengan siasatan polis. Perjuangan saya adalah untuk menghentikan wang berjuta-juta ringgit yang mengalir keluar dari negara melalui amalan pengambilan pekerja yang menipu dan untuk memastikan perbicaraan yang adil.
"Jenayah telah dilakukan. Kerajaan Malaysia boleh bercakap mengenai perkara ini. Undang-undang akan berjalan mengikut jalannya sendiri," katanya.
Menurut Altab, peguamnya kini sedang menyediakan petisyen bantahan (tuntutan tidak percaya) untuk dikemukakan di mahkamah bagi mencabar pengguguran pertuduhan di bawah Akta Pencegahan dan Pembanterasan Pemerdagangan Manusia 2012.
Rafiqul kemudian menjelaskan bahawa keputusan muktamad kini terletak di tangan mahkamah.
"Mahkamah boleh menerima syor untuk menggugurkan tuduhan pemerdagangan manusia dan meneruskan perbicaraan atas tuduhan berkaitan penipuan, atau ia boleh mengarahkan siasatan lanjut jika dianggap perlu.
"Masa depan kes ini sebahagian besarnya bergantung pada respons tertuduh dan manuver undang-undang plaintif," katanya.
Isu ini berpunca daripada mekanisme pengambilan pekerja yang diwujudkan menerusi perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh sebelum ini.
Di bawah sistem tersebut, hanya 103 Agensi Pengambilan Bangladesh (103 BRA) dilantik untuk menguruskan penghantaran pekerja ke Malaysia. Bagaimanapun, pelantikan 103 agensi itu menerima kritikan pelbagai pihak.
Ramai, termasuk bekas pekerja, ahli politik Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mendakwa perjanjian tersebut mewujudkan monopoli yang akhirnya melahirkan sindiket buruh.
Susulan itu, pada September 2024, Altab membuat laporan polis terhadap 103 agensi berkenaan serta beberapa rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam monopoli tersebut.
Teras utama laporan polis itu ialah dakwaan bahawa satu sindiket diwujudkan atas nama penghantaran pekerja, yang didakwa memeras wang berjuta-juta ringgit daripada orang ramai, menahan mereka sebagai tebusan di luar negara, mengenakan caj migrasi yang berlebihan serta menyebabkan pekerja berdepan eksploitasi dan penderitaan yang teruk.
Dalam laporan polis tersebut, Altab, yang juga pemilik agensi Afia Overseas, mendakwa dia dipaksa membayar tambahan yang disifatkan sebagai wang rasuah sebanyak BDT150,000 (kira-kira RM6,000) bagi setiap pekerja untuk memproses visa melalui agensi kroni.
Jumlah itu jauh melebihi kadar rasmi yang ditetapkan oleh kedua-dua kerajaan, iaitu BDT78,990.
Akibat ancaman sekatan perniagaan, Altab mendakwa beliau membayar sebanyak BDT12.56 crore (kira-kira RM51 juta) bagi memproses penghantaran 841 pekerja sepanjang tempoh November 2022 hingga Mei 2024.
Kes ini turut mencetuskan kontroversi diplomatik sebelum ini.
Seperti yang dilaporkan Malaysiakini dalam siri pendedahan terdahulu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pernah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat Bangladesh bagi meminta siasatan terhadap sindiket berkenaan dihentikan.
Putrajaya ketika itu menjelaskan sebahagian besar dakwaan berkaitan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram tidak berasas serta bimbang ia boleh menjejaskan reputasi Malaysia dan kelancaran proses kemasukan tenaga kerja asing.





