Susulan demonstrasi yang berlaku di Indonesia baru-baru ini, penyanyi dangdut popular asal negara itu, Inul Daratista melahirkan rasa berduka dengan apa yang menimpa tanah air tercintanya.
Artikel Berkaitan: Inul Daratista Beri Al-Quran Bersaiz Besar Secara Percuma Kepada Peminat Bertuah – ‘Ini Ikhlas Daripada Saya Bukan Promosi!’
Turut berduka

Inul atau nama sebenarnya, Ainur Rokhimah, 46, berkata, ramai rakyat yang terkesan dengan insiden berkenaan selain aktiviti harian turut terjejas.
Situasi yang melanda Indonesia kini turut membuatkan saya sedih kerana banyak perkara yang terjejas termasuk perniagaan. Saya mempunyai lebih 5,000 pekerja yang turut terkena tempias disebabkan demonstrasi.
Saya tidak ikut berdemo tetapi mengikuti perkembangan semasa apa yang sedang berlaku termasuk keadaan politik di Indonesia.
Keadaan terkini semakin menunjukkan positif dan kembali reda. Harapnya semuanya kembali aman dan urusan harian dapat kembali normal.
Inul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pada Selasa.
Kembali aman

Dalam pada itu, pelantun lagu Arjuna Buaya turut meluahkan rasa simpati kepada ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) juga rakannya yang terbabit dalam kemelut berkenaan.
Saya sendiri rasa serba salah, kerana mereka yang terlibat adalah kenalan. Ada di antara yang sudah digantung tugas dan dipecat.
Semoga ini menjadi pengajaran untuk semua dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Doakan Indonesia kembali aman.
Sementara itu, bercakap mengenai konsert, Inul berasa gembira dapat kembali membuat konsert di Malaysia selepas hampir 20 tahun sekali gus dapat mengubati kerinduan peminat.
Malah, Inul tidak sabar untuk menggegarkan Setia Spice Arena Pulau Pinang pada 6 Disember depan bersama dua penyanyi dangdut Malaysia, Amelina dan Baby Shima.
Saya sangat senang dapat kembali membuat persembahan di Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak beraksi di pentas besar. Kali terakhir saya berada di Malaysia sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2019.
Jadi apabila dilamar, saya tidak menunggu lama untuk buat keputusan, terus bersetuju. Tambahan pula dapat beraksi dengan kawan lama saya, Amelina dan anak didik saya, Baby Shima.
Sudah tentu saya akan belanja goyang gerudi yang menjadi ‘trademark’ sejak awal pembabitan saya.
Tiket Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ boleh didapati di http://www.myticket.asia.
The post ‘Doakan Indonesia Kembali Aman’ – Inul Daratista first appeared on OHBULAN!.





