PRN JOHOR | Genap seminggu sebelum pengundi berdaftar Johor mengundi untuk menentukan kerajaan di negeri itu, PAS hari ini membuat peringatan kepada penyokong ahlinya agar patut kepada arahan yang dikeluarkan parti.
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perjuangan parti itu bukan sekadar mencari kemenangan politik sebaliknya melibatkan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat.
Semua yang dilakukan, tambah Menteri Besar Terengganu itu lagi, akan menjadi bekalan untuk seseorang bertemu Allah.
Sebab itu, katanya, kemenangan tidak datang hanya dengan semangat yang berkobar-kobar.
Sebaliknya kata bekas Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tersebut, setiap langkah perlukan strategi yang jelas, disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan dan gerak kerja yang konsisten.
“Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat akan mengeluarkan arahan. Arahan itu akan disusun dari peringkat pusat, negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan.
“Walau sesukar mana sekali pun untuk dilaksanakan, laksanakanlah dengan penuh amanah,” katanya.
Kenyataan berupa arahan itu hadir ketika PAS mencatur gerakannya di Johor dengan meletakkan hanya 11 calon berbanding 56 kerusi keseluruhan yang ada dalam DUN negeri berkenaan.
Pemimpin PAS juga sudah mengeluarkan arahan kepada penyokong mereka agar memberikan undi kepada BN jika kawasan terbabit tiada calon PAS atau PN bertanding.
Kena elak PH menang
Untuk rekod beberapa hari selepas DUN Johor dibubarkan, PAS tampil menghulurkan tangan mengajak Umno menjayakan Muafakat Nasional 2.0 selepas gagasan kali pertama mereka gagal apabila PAS membentuk PN bersama Bersatu.
Empat hari selepas membuat ajakan tersebut, PAS mengumumkan keputusan sepihak mereka untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu di sebalik kedudukan kedua-dua parti merupakan komponen utama PN.
Pun begitu PRN Johor ke-16 ini menyaksikan PAS dan Bersatu tetap bertanding menggunakan logo sama, dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri di mana-mana kerusi.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN menambah penyokong PAS perlu yakin bahawa sebarang arahan yang dikeluarkan parti sudah disusun dengan teliti agar jentera parti bergerak bersama untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Akhirnya, setelah kita merancang, berusaha dan berkorban sedaya upaya, kita berserah kepada Allah SWT.
“Apa pun pendekatan parti lain, itu urusan mereka. Yang penting, kita melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui PH mempunyai kekuatan tersendiri di Johor justeru pendukung parti itu wajar bersatu bagi memastikan lawan mereka berjaya dikalahkan.
Pada masa sama Tuan Ibrahim menyeru agar pengundi memberikan sokongan kepada PAS di tempat yang mereka tandingi sebagai langkah membentuk mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Apa yang penting ialah kita elak supaya PH memenangi PRN Johor ini.
“Memang kita akui kekuatannya yang ada di Johor, (tetapi) orang Melayu perlu (gerakkan) penyatuan ummah,” katanya.
Dia yang juga Timbalan Pengerusi PN turut mengingatkan ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang calon untuk disokong temasuk berakhlak mulia, berintegriti dan sentiasa bersama dengan rakyat pada ketika susah atau senang.

Dalam PRN terdahulu (2022) PAS mengambil pendekatan lebih menyeluruh dengan meletakkan lebih ramai calon, namun gagal memberikan kesan yang signifikan
PAS memenangi satu kerusi saja bagi pihak PN, manakala Bersatu memperoleh dua yang lain.
Mengulas pencapaian tersebut, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, kurangnya kesedaran politik dalam kalangan pengundi menjadi punca mereka gagal memenangi lebih banyak kerusi.
Kenyataan tersebut kemudian dipertahankan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menganggap mungkin kata-kata Abdul Hadi disilap petik oleh media.
Ditemui wartawan di Muar, Muhyiddin - ketika itu masih menjadi Pengerusi PN - berkata, setiap Melayu di Johor ada asas agama serta boleh menilai baik buruk dan halal haram sesuatu perkara.
“Di peringkat negeri kita dah ada satu sistem penddikan Islam amat baik, malah dijadikan contoh negeri-negeri lain di Malaysia ini,” katanya.





