Apabila bercakap tentang saham, pelaburan atau crowdfunding, tidak semua orang terus melihatnya sebagai satu bentuk pengembangan perniagaan. Bagi sesetengah pihak, persoalan pertama yang timbul mungkin lebih mudah, adakah ini satu lagi bentuk ‘scam’?
Persepsi itu turut dihadapi Ajak Shiro selepas membuka peluang kepada orang ramai menyertai kempen Equity Crowdfunding atau ECF bagi syarikat yang diusahakannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah Jual Rumah, Kereta & Gadai Barang Kemas Isteri, Ajak Shiro Serius Berniaga Selepas Rugi RM400,000 – ‘Lebih Baik Saya Jual Nasi’
ARTIKEL BERKAITAN: Ajak Shiro Hadiahkan Restoran Kedua Untuk Ebby Yus – ‘Dekat Dengan Rumah, Saya Tak Nak Dia Penat’
‘Saya Tak Pegang Seringgit Pun’
Namun bagi pelawak, penyampai radio dan usahawan itu, rasa curiga terhadap perkara melibatkan wang memang boleh difahami. Apa yang diharapkannya hanyalah orang ramai tidak terus menghukum sebelum memahami bagaimana ECF berfungsi.
“Saya tak marah sebenarnya kalau orang cakap scam atau tipu. Cuma saya harap mereka belajar dan cari ilmu sedikit supaya faham apa yang sedang kita buat.
“Bila sebut saham atau crowdfunding, masih ada yang terus fikir semuanya scam. Sampai bila kita nak fikir macam itu?” katanya.

Menurut mantan hos Melodi TV3 itu, antara salah faham terbesar adalah tanggapan wang yang dimasukkan pelabur terus diberikan kepadanya secara peribadi.
“Saya tak pegang seringgit pun duit yang orang masukkan. Kalau kempen berjaya mencapai sasaran, barulah dana itu diberikan kepada syarikat.
“Jadi bukannya orang transfer duit terus kepada saya,” jelasnya.
Ajak turut mengakui setiap pelaburan mempunyai risiko dan memahami kenapa orang ramai lebih berhati-hati apabila perlu mengeluarkan wang.
View this post on Instagram
Namun baginya, kegagalan sesebuah kempen mengumpulkan dana tidak sepatutnya terus disamakan dengan penipuan.
“Kalau saya gagal dalam ECF, maksudnya saya gagal menaikkan dana untuk besarkan syarikat. Itu berbeza dengan kita cuba scam orang,” katanya.
Secara rasmi, kempen Babah Ventures dilaksanakan menerusi pitchIN, platform Equity Crowdfunding yang beroperasi dalam rangka kerja kawal selia Malaysia. Pelabur yang menyertai kempen itu melanggan saham biasa Babah Ventures dan menjadi pemegang saham syarikat.
Dah Berkembang, Kenapa Masih Cari Dana?
Satu lagi persoalan yang sering diterima Ajak adalah mengapa perlu mencari dana sekiranya perniagaannya sudah berkembang.
Bumbu Babah kini mempunyai 60 cawangan dalam tempoh kurang dua tahun, dengan cawangan ke-60 dibuka di Lotus’s Manjung.

Ajak bagaimanapun menegaskan, dana yang dicari bukan untuk menampung kehidupan peribadinya.
“Saya bukan minta duit untuk keperluan harian atau kelangsungan hidup. Ini dana untuk besarkan perniagaan.
“Saya faham orang cakap, kalau bisnes bagus kenapa kena buat ECF? Tapi cara bisnes berkembang tidak semestinya menggunakan duit pemilik sendiri sahaja,” katanya.
Malah, Ajak mendakwa pernah menerima tawaran dana daripada pihak tertentu yang melebihi sasaran kempen. Namun dia memilih ECF kerana mahu membuka ruang kepada pelanggan yang selama ini menyokong perniagaannya untuk turut mempunyai pegangan.
Dari Pelanggan Kepada Pemegang Saham
Idea itu tercetus selepas Ajak melihat ramai pelanggan tetap datang berkali-kali ke restorannya.
Ada yang menjadikan premis tersebut sebagai tempat makan bersama keluarga, malah ada yang sudah berbelanja melebihi jumlah minimum pelaburan dalam tempoh tertentu.
“Saya tengok ada pelanggan datang sembilan kali, berbelas kali. Jadi saya fikir, apa salahnya kalau pelanggan sendiri kita jadikan business partner?
“Daripada mereka datang makan sahaja, kalau perniagaan maju, sekurang-kurangnya mereka pun boleh mendapat manfaat,” katanya.
Kenyataan rasmi Babah Ventures turut menjelaskan idea ECF itu bukan semata-mata untuk mendapatkan modal, tetapi lahir daripada hubungan yang sudah terbina dengan pelanggan yang sering memberi maklum balas mengenai operasi cawangan.

Jumlah pelaburan minimum ditetapkan pada RM800, dengan pelabur turut menerima baucar tunai bernilai RM960 selain saham yang dilanggan.
Namun Ajak mengingatkan saham tidak sepatutnya dianggap sebagai jalan mendapatkan keuntungan segera. Pulangan, katanya, bergantung kepada prestasi dan keuntungan syarikat.
Komen Negatif Buat Lebih Berhati-Hati
Di sebalik penjelasan itu, Ajak mengakui komen negatif tetap meninggalkan sedikit kesan.
“Kalau cakap jujur, dalam hati mestilah terasa. Tapi saya tak jadikan benda itu sebab untuk saya down.
“Kita buat baik pun orang bercakap, buat jahat pun orang bercakap. Jadi lebih baik saya teruskan apa yang saya buat,” katanya.
Malah, dia melihat kritikan sebagai peringatan supaya dirinya lebih berhati-hati.
“Saya suka juga komen yang tak berapa bagus sebab ia buat kita berjaga-jaga. Kalau boleh saya sendiri tak mahu jadi seperti apa yang orang takutkan,” katanya.
Pernah Jatuh, Kini Tak Mahu Berniaga Tanpa Ilmu
Sikap berhati-hati itu turut datang daripada pengalaman lama Ajak dalam bidang produksi.
View this post on Instagram
Dia mendakwa pernah mengalami kerugian besar sehingga terpaksa menggunakan simpanan, menjual rumah dan kereta serta melepaskan barang kemas isteri. Pengalaman tersebut menjadi antara sebab dia berjanji tidak mahu kembali berniaga tanpa ilmu dan pasukan yang memahami bidang berkenaan.
Prinsip itu turut disebut dalam kenyataan rasmi Babah Ventures. Ajak berkata dia tidak mahu cuba menjadi “hero” dengan melakukan segala-galanya sendiri, sebaliknya memilih membina pasukan bersama individu yang mempunyai pengalaman dalam F&B.
Dana yang dikumpulkan menerusi ECF pula dirancang untuk menyokong pengembangan perniagaan, pembangunan konsep F&B baharu, pengambilalihan strategik serta teknologi. Babah Ventures turut menyatakan sasaran untuk mempersiapkan syarikat ke arah IPO menjelang 2028.

Bagi Ajak, mungkin bukan semua orang akan terus memahami atau bersetuju dengan setiap langkah yang dibuat. Namun daripada membalas setiap tuduhan, dia memilih untuk terus menjelaskan dan membiarkan perjalanan perniagaan itu sendiri menjadi jawapan.
Kerana bagi Ajak, rasa skeptikal bukan semestinya perlu dilawan. Kadang-kadang ia juga peringatan supaya seseorang yang membawa wang dan kepercayaan orang ramai terus lebih berhati-hati dengan setiap keputusan yang dibuat.
The post Disangka ‘Scam’ Kerana Cari Dana, Ajak Shiro Tak Mahu Orang Terus Menghukum first appeared on OHBULAN!.





