Nama penyanyi dan pempengaruh, Syaffiq Sahli, terus gah di platform digital apabila sekali lagi membuktikan dominasinya dalam pertandingan berprestij, TikTok Livefest 2025.
Tiga tahun berturut-turut

Walaupun menduduki tangga kedua bagi edisi kali ini, Syaffiq, 39, menganggap pencapaian itu sebagai satu kejayaan besar memandangkan dia berjaya mengekalkan rekod kemenangan selama tiga tahun berturut-turut sejak menyertai pertandingan tersebut.
Mengulas mengenai kemenangannya pada 16 Disember lalu, Syaffiq menyifatkan kedudukan naib juara bagi kategori Fandom dan Talent Music itu mempunyai nilai yang tersendiri dalam kerjaya seninya.
Alhamdulillah, ini tahun ketiga saya bertanding. Tahun pertama dan kedua saya mendapat tempat pertama, manakala tahun ini tempat kedua dan bagi saya ini tetap satu kemenangan.
Syafiq juga mengakui melalui pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang terlibat dalam program ini.
Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Ia memerlukan komitmen, disiplin dan usaha yang sangat tinggi. Orang hanya nampak saya di depan kamera ketika live di TikTok, tetapi di belakang tabir banyak jatuh bangun dan kepayahan yang perlu dilalui, terima kasih buat Pandarian dan Agency Intolive.
Menyedari persaingan yang semakin sengit, bekas peserta Gimme The Mic ini mengambil langkah berani dengan mempelbagaikan pengisian kandungannya. Tidak hanya tertumpu kepada nyanyian, Syaffiq juga akan ke Indonesia, selama 25 hari untuk menyajikan konten paranormal.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan eksplorasinya termasuklah Malang, Surabaya dan Kediri.
Dulu kandungan saya hanya tertumpu kepada nyanyian dan eksplorasi paranormal. Tahun ini saya turut melibatkan perniagaan, jadi terbahagi kepada tiga, perkara itu berlaku ketika hampir memasuki fasa akhir waktu Livefest.
Memasuki tahun ke-14 penglibatannya dalam industri seni, Syaffiq merancang untuk lebih fokus kepada cabang perniagaan dan kandungan paranormal, tanpa mengetepikan bidang lakonan yang sudah sebati dengan dirinya.
Syaffiq dijadualkan terbang ke Phuket, Thailand pada Januari ini untuk majlis penganugerahan, sebelum meneruskan kembara ke Las Vegas pada Februari depan bagi meraikan kemenangan di peringkat global.
Untuk rekod Syaffiq telah bertanding di TikTok Livefest 25 selama tiga tahun berturut-turut dan diumumkan mendapat tempat kedua pada 16 Disember 2025 bagi kategori Fandom dan Talent Music.
The post ‘Bukan Mudah, Perlu Disiplin Tinggi’ – Syaffiq Sahli Syukur Kekalkan Kemenangan Di TikTok Livefest first appeared on OHBULAN!.





