Jika dahulu, gambar AI mungkin mudah dikesan menerusi jari terlebih, wajah pelik atau tulisan yang langsung tak masuk akal. Sekarang, teknologi semakin baik sehingga gambar, video malah suara yang dijana atau diubah menggunakan AI boleh kelihatan sangat meyakinkan.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut meneliti kandungan media sosial yang didakwa menggunakan AI untuk memanipulasi rakaman sebenar. MCMC mengingatkan orang ramai supaya menyemak kandungan sebelum berkongsi dan melaporkan bahan yang disyaki telah dimanipulasi.
Jadi, sebelum tekan butang share, ini lima perkara mudah yang boleh kita periksa.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekadar Ikut Trend Atau Kita Sedang Buka Pintu Bahaya? Ini Kesan Gambar AI Yang Ramai Mungkin Tak Sedar
1. Tengok Siapa Yang Muat Naik Dulu
Sebelum fokus kepada gambar atau video, periksa akaun yang menjadi sumbernya.
Adakah ia datang daripada akaun rasmi, organisasi berita yang dikenali atau sekadar akaun yang kita tak pernah dengar? Cuba juga cari sama ada kandungan yang sama muncul pada platform rasmi individu atau organisasi yang terlibat.
Dalam banyak kes yang disemak AFP, kandungan palsu akhirnya dapat dijejaki kembali kepada akaun yang memang menghasilkan kandungan AI atau versi asal yang berbeza daripada hantaran tular.
2. Perhatikan Benda Kecil Yang Nampak ‘Tak Kena’
AI semakin bagus, tetapi kesilapan kecil masih boleh berlaku.
Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah bentuk tangan dan anggota badan, pantulan pada cermin atau kaca mata, bayang-bayang, pencahayaan, tulisan di latar belakang serta objek yang tiba-tiba berubah bentuk.
UNESCO turut menyarankan pengguna melihat ketidakselarasan pada wajah seperti tekstur kulit, tanda pada muka, bayang dan pantulan cahaya.
Cuma jangan jadikan satu kecacatan visual sebagai bukti mutlak. Teknologi AI semakin berkembang dan kandungan yang nampak sempurna sekalipun masih boleh jadi sintetik.

3. Untuk Video, Tengok Mulut, Pergerakan & Bunyi
Kalau melibatkan video seseorang bercakap, beri perhatian kepada pergerakan bibir.
Adakah mulut benar-benar sepadan dengan suara? Adakah ekspresi wajah berubah secara natural? Ada tak bahagian badan atau latar yang tiba-tiba ‘bercantum’ atau berubah ketika kamera bergerak?
AP melaporkan antara petunjuk yang masih berguna termasuk ketidakselarasan pada pencahayaan, tepi wajah, mulut dan gigi, walaupun pakar mengingatkan bahawa petanda visual semakin sukar digunakan apabila teknologi bertambah baik.
4. Cari Gambar Atau Video Asal
Ini antara cara paling berguna.
Ambil tangkap layar daripada gambar atau video dan buat reverse image search menggunakan Google Lens atau enjin carian imej lain.
AFP berkali-kali menggunakan kaedah ini untuk menemui gambar atau video asal sebelum ia diubah. Dalam satu kes pada 2026, imej yang telah dimanipulasi dapat dibandingkan dengan foto asal yang sebenarnya tidak mengandungi elemen yang ditambah menggunakan AI.
Kalau kejadian itu betul-betul besar, cuba cari juga laporan daripada beberapa sumber berita yang dipercayai.
5. Jangan Bergantung Pada ‘AI Detector’ Seorang Diri
Sekarang memang ada pelbagai alat yang mendakwa boleh mengenal pasti gambar atau video AI.
Ia boleh membantu, tetapi jangan terus anggap keputusannya sebagai bukti muktamad.
Dalam satu semakan AFP pada 2026, beberapa alat pengesan AI memberikan keputusan yang berbeza terhadap imej yang sama. Sebab itu pengesahan biasanya turut melibatkan semakan sumber asal, reverse image search, konteks kejadian dan bukti lain.

Kalau Ragu-Ragu, Jangan Terus Kongsi
Hakikatnya, semakin baik teknologi AI, semakin sukar untuk kita bergantung kepada mata semata-mata.
UNESCO sendiri menekankan kepentingan literasi media dan pemikiran kritikal dalam menghadapi maklumat yang dijana atau dipengaruhi AI.
Jadi kalau sesuatu video terlalu mengejutkan, terlalu sempurna atau membuatkan kita terus rasa mahu tekan share, mungkin itu masa terbaik untuk berhenti sekejap dan semak.
Beberapa minit untuk verify mungkin dapat mengelakkan maklumat yang salah daripada tersebar lebih jauh.
The post Bila AI Makin Sukar Dibezakan, 5 Cara Kenal Kandungan Yang Mungkin Telah Dimanipulasi first appeared on OHBULAN!.





