Kumpulan Inteam, memberikan pandangan mereka berkenaan luahan seorang penyanyi nasyid yang mendakwa kurang mendapat perhatian media semasa menghadiri ke Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM 25) baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Evolusi 25 Tahun: Inteam Buktikan Nasyid Bukan Sekadar Lagu, Tapi Wadah Perjuangan & Keinsafan
Pandangan Inteam

Ketika ditemui , anggota kumpulan Inteam, Hazamin yang turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Vokal Berkumpulan Terbaik di anugerah tersebut berkata, dia memahami situasi pihak media yang belum bersedia untuk menjalankan sesi temu bual.
Saya rasa ada sedikit salah faham. Kategori nasyid merupakan antara kategori terawal diumumkan. Apabila pemenang keluar dari dewan, mungkin pihak media ketika itu belum benar-benar bersedia.
Malah ketika giliran kami yang diumumkan selepas itu pun, keadaan masih belum sepenuhnya bersedia. Jadi saya rasa ia lebih kepada salah faham dari segi teknikal.
Bagaimanapun, Hazamin tetap memuji penganjuran AIM25 yang pertama kali diadakan di Kuching, Sarawak.
Secara peribadi, saya puji penganjuran AIM di Sarawak kerana sambutan dan hospitalitinya memang sangat baik. Kami tidak rasa tidak dilayan. Secara jujur, kami menikmati pengalaman itu.
Media pula datang untuk memberikan liputan kepada pemenang.
Dalam masa sama, Hazamin berharap isu yang timbul tidak menjejaskan hubungan baik di antara penyanyi-penyanyi nasyid dan pihak media.
Justeru, Hazamin menasihati penggiat muzik terutamanya pendatang baharu agar menjalinkan hubungan baik bersama pihak media yang banyak membantu melonjakkan kerjaya seni mereka.
Kami berharap media tidak berkecil hati kerana media juga mengenali ramai artis nasyid lain seperti Inteam, Rabbani dan Hijjaz yang memang mesra media.
Saya rasa artis-artis baharu perlu mengenali dan membina hubungan baik dengan media. Jangan anggap media sebagai orang asing. Kita semua kawan dalam industri.
Abang Azadan (anggota kumpulan Rabbani) sendiri banyak berpesan kepada kami tentang perkara ini. Dia memang mempunyai hubungan baik dengan media dan selalu mengingatkan kami supaya berkawan dengan media.
Saya rasa itu antara perkara yang boleh dipelajari artis baharu daripada artis lama seperti Hijjaz dan Rabbani.
Hazamin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz yang berlangsung di Istana Budaya pada Selasa.
Sementara itu, Syahril pula menyifatkan AIM sebagai sebuah acara berprestij yang mengetengahkan karya terbaik tanpa bersandarkan kepada populariti.
AIM sendiri berbeza berbanding anugerah berasaskan populariti seperti ABPBH. AIM mengangkat karya, bukan semata-mata populariti.
Ada lagu yang dinobatkan sebagai karya terbaik tetapi mungkin belum dikenali ramai. Ada juga pemenang yang pertama kali muncul.
Tidak mengapa kalau seseorang itu belum terkenal ketika berada di AIM kerana yang diangkat ialah karyanya. Daripada situ, barulah orang mula mengenali mereka.
The post [VIDEO] ‘Jangan Anggap Media Sebagai Orang Asing, Kita Semua Kawan Dalam Industri’ – Inteam first appeared on OHBULAN!.





