Pelakon, Badron Munirah mendedahkan terdapat individu yang tiba-tiba mengaku mempunyai pertalian keluarga dengannya selepas namanya semakin dikenali dalam industri seni.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Badron Munirah Dapat Tawaran RM100,000 Jadi ‘Sugar Baby’ – ‘Saya Ada Terima Mesej Nakal’
Tiba-tiba mengaku saudara

Badron atau nama lengkap Mohammad Nur Badron Munirah Rio Abdillah, 27, berkata, perkara tersebut membuatkan dia berasa kurang selesa selain lebih berhati-hati dalam menilai niat sebenar orang di sekeliling.
Memang ada yang tiba-tiba mengaku sepupu atau saudara. Situasi ini benar-benar berlaku dan secara jujurnya saya kurang selesa.
Apabila orang sudah mula mengenali saya, sama ada saudara jauh atau orang luar, ada yang cuba menunjukkan seolah-olah kami rapat.
Badron berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Indigital Media yang berlangsung di Damansara, baru-baru ini.
Tambah anak kelahiran Sarawak itu, perubahan sikap individu tertentu yang sebelum ini tidak pernah rapat, namun kini seakan mempunyai hubungan akrab menimbulkan tanda tanya dalam dirinya.
Sejujurnya saya tidak tahu apa niat mereka. Apa yang saya nampak, sebelum ini langsung tidak rapat, malah ada yang bercakap belakang.
Tapi bila lama tak berjumpa dan saya mula dikenali, tiba-tiba mahu rapat dan mengaku kenal. Itu yang buat saya rasa pelik.
Walaupun berdepan situasi tersebut, Badron memilih untuk melayan semua pihak dengan baik, namun tetap menjaga batas dan berhati-hati dalam memilih kawan.
Lebih mengejutkan, ada juga individu yang berani mengambil kesempatan dengan meminjam wang daripadanya walaupun hubungan tidak begitu rapat.
Memang kalau nak bagi, boleh saja. Tapi saya takut nanti saya pula yang kena menagih hutang. Biarlah orang anggap saya kedekut, daripada saya terpaksa berdepan masalah di kemudian hari, lebih baik saya tidak ambil risiko.
Saya pernah ditipu oleh kawan baik sendiri berkaitan duit. Jadi bagi saya, lebih baik elakkan daripada bergaduh kerana wang.
The post Badron Munirah Dedah Ramai Nak Pinjam Duit Selepas ‘Famous’, Rela Dilabel Kedekut Daripada Penat Tagih Hutang first appeared on OHBULAN!.





