
Vokalis kumpulan Azlan & The Typewriter iaitu Azlan menganggap foto bersama seorang wanita yang dimuat naik individu tersebut di TikTok, baru-baru ini sekadar gambar biasa.
‘Tak kenal’

Meskipun gambar tersebut kelihatan agak mesra yang mana memperlihatkan mereka saling merangkul pinggang, Azlan bagaimanapun menegaskan dia tidak mengenali wanita itu.
Jelas pemilik nama sebenar Nor Azlan Rosle, perkara itu juga tidak perlu diperbesarkan.
Saya ada ramai kawan perempuan, nama mereka pun kadang-kadang saya tak tahu. Tapi bagi saya itu (gambar) benda biasa saja, ‘small matter’ saja. Biasalah, tiada apa.
Saya pun tak kenal perempuan itu. Saya rasa bukan itu sahaja gambar saya, mungkin ada banyak lagi gambar, jadi saya rasa benda ini tiada apa. Bukan gambar bogel pun.
Azlan berkata demikian ketika ditemui di majlis Raya Bersama Indigital Music & FYP Media yang diadakan di LMP Events, pada Selasa.
‘Tak larang’

Berkongsi lanjut, Azlan berkata, dia kerap berjumpa dengan pelbagai individu ketika bertugas, justeru gambar itu bukanlah satu isu yang besar.
Macam inilah, saya kadang-kadang ada tugas malam dan yang berada di sekeliling saya adalah mereka yang saya jumpa pada sebelah malam, jadi tiada isu sangat pun.
Itu perkara biasa sebab saya kerja malam. Ada yang saya kenal dan ada juga yang saya tak kenal.
Dalam pada itu, Azlan memberitahu dia tidak pernah menghalang mahupun mengehadkan tindakan sesiapa untuk memuat naik gambarnya.
Kalau mereka nak ‘post’, ‘post’ saja, saya tiada isu sebab saya yang penting saya tahu tanggungjawab saya untuk keluarga saya.
Terdahulu, seorang wanita yang menggunkana nama Aim Hammat di Tiktok memuat naik gambar bersama Azlan, bagaimanapun foto itu telah dipadam tidak lama kemudian selepas dikecam netizen.
Dalam perkembangan lain, Azlan meluahkan rasa syukur apabila lagu ‘Bara Jiwa’ nyanyiannya bersama Muzza yang juga lagu tema untuk filem Blood Brothers: Bara Naga, mendapat sambutan positif.
Selain itu, Azlan juga mengakui ada perancangan untuk mengeluarkan single seterusnya bagaimanapun masih menunggu masa yang sesuai.





