Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti selepas melalui fasa perceraian dengan bekas isteri, Bella Astillah.
Artikel Berkaitan: Aliff Aziz Tak Menghilang Tapi Banyak Muhasabah Diri, Enggan Ulas Hubungan Dengan Anak
Di fasa bahagia

Aliff, 34, berkata, tumpuannya kini lebih kepada memperbaiki diri dan memberi perhatian kepada orang sekeliling, termasuk keluarga.
Kalau nak tanya saya dah jumpa pengganti ke? Jawapannya belum. Tapi apa yang boleh saya katakan, sekarang saya berada dalam satu fasa yang membahagiakan.
Saya gembira dan ingin terus memperbaiki diri, menjadi insan yang lebih baik dalam lingkungan yang ada sekarang. Alhamdulillah, itu sahaja.
Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran Havoc Trio Festival 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra (WTC), pada Khamis.
Dalam pada itu, Aliff juga menjelaskan dia tidak mahu terlalu terbuka bercakap mengenai hal peribadi kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir atau menimbulkan spekulasi tidak benar.
Saya rasa soalan itu pun tak perlu dijawab panjang. Ramai di luar sana pun mungkin rasa perkara ini bukan sesuatu yang penting untuk tahu.
Saya jawab sebab kawan-kawan media bertanya, tapi pada masa sama saya tak mahu beri jawapan yang akhirnya jadi buah mulut orang. Macam itulah, insya-Allah.
Dalam pada itu, juara GegarVaganza musim ke-9 (GV9) turut mendoakan kesejahteraan orang disekelilingnya termasuk mereka yang pernah hadir dalam hidup.
Saya sentiasa mendoakan orang-orang di sekeliling saya. Apa yang saya belajar daripada segala peristiwa terjadi sebelum ini adalah hidup tetap perlu diteruskan.
Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Pasangan itu bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Kali pertama mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.
The post Aliff Aziz Belum Jumpa Pengganti, Berada Dalam Fasa Bahagia – ‘Saya Ingin Terus Perbaiki Diri’ first appeared on OHBULAN!.





