Ada sebab mengapa konsert sulung berskala mega penyanyi lagenda, Datuk Aishah diberi judul Aishah: 40 Chapters of Love.
Artikel Berkaitan: ‘Janji Manismu’ Ditunaikan, Konsert Solo ‘Aishah 40 Chapters of Love’ Bakal Temui Peminat Julai Ini
Perjalanan 4 dekad

Nama itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-40 perjalanan seninya, tetapi menjadi sebuah naskhah yang mengimbau setiap bab dalam kehidupannya sebagai seorang wanita, penyanyi, ibu dan insan yang pernah melalui pelbagai jatuh bangun sepanjang berada dalam industri hiburan.
Berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, konsert anjuran Vox Nation Live itu membuktikan bahawa nama Aishah masih mempunyai tempat yang cukup istimewa di hati pencinta muzik tanah air.
Sebaik tirai dibuka dengan montaj perjalanan kerjayanya, penonton dibawa menyusuri kembali zaman kegemilangan Aishah.
Paparan visual memperlihatkan detik-detik penting dalam hidupnya termasuk ketika menjadi wajah iklan jingle Pepsi, kemenangan di Anugerah Juara Lagu (AJL) serta pelbagai pencapaian yang pernah mengangkat namanya sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara.
Ini seolah-olah menjadi pembuka tirai yang cukup sempurna sebelum figura legenda itu muncul di pentas disambut sorakan gemuruh lebih 3,000 penonton yang sudah tidak sabar mengimbau nostalgia bersama penyanyi kesayangan mereka.
Lebih istimewa, Aishah sendiri menjelaskan konsert tersebut bukan sekadar himpunan lagu-lagu popular, tetapi sebuah kisah mengenai kasih sayang yang ditemuinya sepanjang empat dekad bergelar anak seni.
Sarat Nostalgia, Sarat Cerita

Tidak keterlaluan jika dikatakan Aishah bukan sekadar menyanyi, sebaliknya bercerita. Setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai kisah tersendiri, diselang-seli dengan celoteh bersahaja yang membuatkan suasana di dalam dewan terasa cukup intim meskipun berlangsung di sebuah arena berskala besar.
Aishah membuka persembahan menerusi medley Camar Yang Pulang, Tiada Duka, Never Gave Up On You dan Jari-Jariku Sakit Semua, sebelum membawa penonton mengimbau era kegemilangannya menerusi Kau Sahabat, Kekasih & Teman, Kasih Kita dan Kau Yang Teristimewa.
Satu demi satu lagu malar segar dipersembahkan, membuatkan penonton tidak henti-henti menyanyi bersama. Lebih menarik, susunan muzik oleh Sharon Paul berjaya memberikan nafas baharu kepada setiap lagu tanpa menghilangkan identiti asal karya-karya tersebut.
Mak-mak masih setia

Sepanjang konsert, jelas kelihatan majoriti penonton terdiri daripada peminat yang membesar bersama lagu-lagu Aishah. Menyedari perkara itu, Aishah sempat berseloroh mengenai kelompok peminat setianya.
Saya tahu ramai golongan mak-mak yang minat saya. Tapi saya gembira sebab ada juga generasi muda yang datang bawa mak mereka.
Hakikatnya, kata-kata itu cukup menggambarkan bagaimana karya Aishah berjaya merentas generasi. Ada yang hadir bersama pasangan, anak-anak dan seluruh keluarga semata-mata mahu menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi di pentas.
Aishah tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila mengetahui beberapa rakan sekolah menengah dan rakan universitinya turut hadir memberikan sokongan.
Malah, antara momen paling mencuit hati apabila Aishah berkongsi bahawa dia terbaca kisah sepasang kekasih di media sosial yang memilih konsertnya sebagai lokasi first date mereka.
Tanpa berlengah, Aishah mencari pasangan tersebut sebelum mengusik mereka dari atas pentas, sekali gus menjadikan malam itu lebih istimewa bukan sahaja buat dirinya, malah buat peminat yang hadir.
Vokal masih bertaring

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah kemampuan vokal Aishah. Walaupun sudah empat dekad berada dalam industri, penyanyi berusia 60 tahun itu masih mampu menyampaikan lagu-lagu berintensiti tinggi seperti One Moment In Time dengan penuh bertenaga.
Malah, lagu-lagu seperti Fatwa Pujangga, Di Mana Ku Cari Ganti, Ayah, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Bayangan berjaya dipersembahkan dengan emosi yang cukup mendalam sehingga membuatkan ramai penonton kelihatan mengalirkan air mata.
Kemunculan Ara Johari sebagai penyanyi jemputan menerusi duet Kemaafan Dendam Yang Terindah turut memberikan warna berbeza sebelum Ara meneruskan persembahan solo menerusi Menjaga Jodoh Orang Lain.
Seperti dijangka, kemuncak malam itu hadir menerusi lagu ikonik Janji Manismu. Sebaik intro lagu dimainkan, seluruh Mega Star Arena bergema dengan nyanyian penonton yang seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang menyanyikan lagu tersebut bersama penyanyi kesayangan mereka.
Sorakan yang bergema akhirnya memanggil semula Aishah ke pentas untuk menyampaikan dua lagu encore iaitu Pulanglah dan Setitis Cahaya Di Aidilfitri, sekali gus menutup tirai konsert dengan penuh indah.
Apa yang menjadikan Aishah: 40 Chapters of Love begitu istimewa bukan sekadar deretan lagu popular atau persembahan vokal yang mantap. Sebaliknya, sebuah perjalanan emosi yang memperlihatkan sisi sebenar seorang legenda yang masih disayangi selepas 40 tahun.
Konsert ini bukan sekadar meraikan seorang penyanyi, tetapi menghargai seorang wanita yang telah menghadiahkan ratusan kenangan menerusi lagu-lagunya. Tidak hairanlah apabila Aishah sendiri menyifatkan malam itu sebagai antara detik paling bermakna dalam hidupnya.
Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni.
Melihat ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan paling berharga.
Selepas 40 tahun, Datuk Aishah masih berdiri megah sebagai antara penyanyi wanita terbaik negara, dan Aishah: 40 Chapters of Love menjadi bukti bahawa kasih sayang peminat terhadapnya masih utuh, malah semakin mekar merentas generasi.
The post 40 Tahun Berkarya, Aishah Buktikan Aura Legenda Belum Pudar! Vokal Masih ‘Bertaring’ first appeared on OHBULAN!.





