Selepas baju yang dipakai Muhammad Sanusi Md Nor menjadi perhatian ramai dan dikritik manakala dirinya dipersenda, sebuah syarikat pembekal tampil hari ini untuk memohon maaf kerana menjadi punca kontroversi berkenaan.
Menjelaskan situasi yang membawa kepada isu baju Jalur Gemilang ‘tidak cukup sifat’ dipakai Menteri Besar Kedah berkenaan, syarikat itu menghantar surat rasmi serta membuat permohonan maaf terbuka.
Menurut Ne Creative Venture – yang berpejabat di Melaka – mereka mengambil maklum secara serius isu tersebut dan terbuka menerima komen daripada orang ramai yang memberikan komen mengenai bintang yang tidak cukup bucu pada baju dipakai Sanusi.
Kata syarikat itu mereka faham bahawa semua aspek pada bendera Malaysia perlulah lengkap seperti sepatutnya.
"Namun demikian, jumlah (bucu) bintang yang tidak cukup telah menjadi isu dan pihak syarikat memohon maaf serta berjanji akan memastikan tidak berlaku lagi kesilapan yang sama," kata syarikat itu melalui surat yang dimuat naik di media sosial.
Ia bertarikh hari ini dan bertandatangan. Namun tidak dinyatakan siapakah yang menurunkan tandatangan tersebut.
Menurut Ne Creative Venture lagi, reka bentuk tersebut dicetak berdasarkan bahan rujukan fail (artwork) yang diterima dan melalui proses tracing teknikal semasa fasa pengeluaran.
Pun begitu, katanya, mereka mengakui berlaku kekhilafan apabila terpaksa menerima tempahan tambahan pada saat akhir yang kemudian mengakibatkan proses semakan terperinci (quality control) kurang teliti.

"Justeru itu, kami memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah atas kecacatan teknikal ini dan mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan pembetulan segera dilakukan," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial baju Jalur Gemilang yang dipakai Sanusi dalam satu majlis tidak cukup sifat apabila jumlah bucu bintangnya hanya 13 berbanding angka sebenar 14.
Kesilapan itu mengundang kritikan warganet yang menyifatkan pemimpin PAS itu tidak peka dengan perkara itu.
Warganet kemudiannya turut ‘memetik’ nama Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini lantang mengnkritik salah urus Jalur Gemilang khususnya yang melibatkan negeri ditadbir PH.
Malaysiakini telah menghubungi Sanusi dan Akmal bagi mendapatkan respons mereka berhubung perkara itu dan masih menunggu respon mereka.
Sementara itu, Urusetia Penerangan Darul Aman memaklumkan baju berkenaan dipakai Sanusi sempena program Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-69 yang diadakan semalam.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Anak Bukit dan DUN Suka Menanti itu dirasmikan Sanusi dengan hampir 100 bot menyertai perarakan bermula dari Kampung Alor Madi hingga ke Muzium Negeri Kedah sambil mengibarkan Jalur Gemilang.





