30.1 C
Kuala Lumpur
Friday, August 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pahang tolak syarat siasatan awam, tanah ganti hutan simpan

    Shopee Sale

    Pahang menjadi negeri keempat tidak menerima pakai dua perlindungan utama di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, iaitu kewajipan mengadakan siasatan awam dan menyediakan tanah ganti sebelum sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dikeluarkan.

    Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang semalam, Adun meluluskan rang undang-undang bagi menerima pakai pindaan persekutuan itu dalam undang-undang perhutanan negeri, tetapi mengecualikan kedua-dua peruntukan berkenaan.

    Seksyen 11 mewajibkan pihak berkuasa negeri mengadakan siasatan awam sebelum mengeluarkan mana-mana tanah daripada HSK.

    Seksyen 12 pula menetapkan kawasan sama luas atau lebih luas perlu dikenal pasti untuk diwartakan sebagai tanah ganti.

    Tiga negeri lain yang mengambil langkah sama ialah Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak.

    Menurut statistik Jabatan Perhutanan bagi 2024, empat negeri itu secara keseluruhan merangkumi 69.3 peratus daripada keluasan HSK yang diwartakan di Semenanjung.

    Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan menerima pakai kedua-dua peruntukan tersebut manakala Selangor mewajibkan siasatan awam tetapi tidak mensyaratkan penyediaan tanah ganti.

    Terengganu, Kedah dan Johor masih belum memutuskan sama ada mahu menerima pakai peruntukan itu atau tidak, manakala status Pulau Pinang belum dapat dipastikan.

    Diluluskan dalam tempoh singkat

    Berdasarkan siaran langsung persidangan DUN Pahang pagi semalam, kira-kira 10 minit rakaman menunjukkan proses meluluskan enakmen tersebut.

    Bagaimanapun, proses sebenar mungkin mengambil masa lebih lama kerana video yang dikongsikan menerusi saluran YouTube Pahang Media TV kelihatan tersekat-sekat dan terputus pada beberapa bahagian.

    Ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata garis panduan kerajaan persekutuan kadangkala dirasakan seperti cubaan untuk “mencekam” atau mengenakan sekatan ketat terhadap beberapa negeri yang berjaya memelihara sumber hutan mereka.

    Wan Rosdy berkata kerajaan persekutuan mahu negeri mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah sebagai kawasan berhutan. Menurutnya, Pahang jauh melepasi penanda aras itu dengan 57.7 peratus.

    Bagaimanapun, sasaran rasmi 50 peratus merujuk keluasan tanah negara yang dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok, bukannya keluasan HSK bagi setiap negeri.

    Angka 57.7 peratus yang disebut Wan Rosdy juga berkemungkinan merujuk keseluruhan kawasan berhutan di Pahang dan bukannya HSK.

    Jawapan bertulis Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Parlimen pada 2024 merekodkan kawasan berhutan di Pahang seluas 2.016 juta hektar atau 55.79 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah negeri itu.

    Takrif kementerian itu merangkumi HSK, tanah hutan kerajaan, taman negara dan taman negeri, santuari hidupan liar serta kawasan berhutan lain.

    Wan Rosdy turut berkata negeri lain sudah “habis” hutannya sehingga hanya berbaki peratusan satu angka.

    “Sebelum akta ni diluluskan juga kerajaan negeri telah membuat keputusan...Kerajaan negeri merasakan kita bincang dalam IMK bahawa apa yang kita buat ni kita teruskan dengan kita terima tetapi kecuali Seksyen tujuh dan Seksyen 8,” katanya.

    MENARIK:  85 peratus kes Tibi libatkan warga tempatan, kata menteri

    Dia merujuk Seksyen 7 dan 8 dalam rang undang-undang negeri yang sepadan dengan Seksyen 11 dan 12 dalam undang-undang persekutuan.



    Wan Rosdy menjelaskan Pahang sudah melaksanakan peraturan ketat di peringkat negeri sebelum akta persekutuan itu diluluskan, termasuk keperluan menetapkan kawasan tertentu bagi setiap lesen pembalakan yang dikeluarkan.

    Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Cheka daripada PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengenai implikasi rang undang-undang itu terhadap HSK.

    Berdasarkan bahagian rakaman yang dapat ditonton, rang undang-undang tersebut diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga menerusi undian suara tanpa perbahasan lanjut yang dapat dikenal pasti.

    Pelaksanaan di negeri lain

    Pada 2023, Perlis menerima pakai sepenuhnya Seksyen 11 dan 12, diikuti Melaka pada tahun ini.

    Wilayah Persekutuan turut menerima pakai kedua-dua seksyen itu pada tahun lalu, tetapi menambah peraturan terperinci mengenai siasatan awam serta proses ketat bagi mengemukakan bantahan.

    Selangor pula menggubal keperluan mengadakan siasatan awam lebih awal, iaitu pada 2011, sekali gus menghalang pengeluaran tanah daripada HSK tanpa siasatan.

    Pada 2024, menteri sumber asli dan kelestarian alam ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, menggesa semua kerajaan negeri memasukkan tatacara siasatan awam ke dalam undang-undang perhutanan masing-masing.

    Bagaimanapun, Kelantan dan Negeri Sembilan menolak peruntukan itu pada tahun lalu, manakala Perak mengambil langkah sama pada awal tahun ini.

    Hukuman, penguatkuasaan dipertingkat

    Pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2022.

    Selain mewajibkan siasatan awam dan penyediaan tanah ganti, pindaan itu meningkatkan denda serta hukuman bagi pelbagai kesalahan, termasuk pembalakan haram, mengambil tumbuhan dilindungi, menceroboh, membuang sampah, membiarkan ternakan meragut secara haram dan menggunakan api.

    Pindaan tersebut turut memperkenalkan kesalahan jenayah baru bagi perbuatan menghalang pegawai penguat kuasa, membuat perisytiharan palsu, cuba melakukan kesalahan hutan atau bersubahat melakukannya.

    Ia juga memperkukuh kuasa penguatkuasaan, termasuk membenarkan pegawai diberi kuasa mendirikan sekatan jalan raya bagi memberhentikan dan memeriksa kenderaan yang disyaki membawa kayu balak haram.

    Pegawai turut dibenarkan menjalankan pemeriksaan dan penyitaan tanpa waran dalam keadaan tertentu.

    Bagi memudahkan pendakwaan kesalahan hutan, akta itu turut memperkenalkan dua anggapan undang-undang yang terpakai sehingga dibuktikan sebaliknya:

    • Mana-mana individu yang ditemukan di dalam atau bersebelahan HSK atau tanah kerajaan tempat pengambilan hasil hutan tanpa lesen berlaku dianggap telah mengambil hasil hutan tersebut; dan

    • Mana-mana jentera, peralatan atau pengangkut yang disenaraikan dalam Jadual Keenam dan ditemukan di dalam atau bersebelahan kawasan tersebut dianggap telah digunakan untuk mengambil hasil hutan.

      [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah