Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa parti tersebut bukan milik "anak beranak" susulan dakwaan rasa tidak puas hati terhadap pengundian calon.
Katanya, dakwaan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi bahawa Umno Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas sedangkan ramai calon muda diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
“Umno ini bukan parti anak beranak. Bila anak tidak dapat jadi calon, semua tidak betul pada Umno.
“Ramai lagi orang muda yang ada dan telah dipilih sebagai calon.
"Hanya kerana anak seseorang tidak dipilih sebagai calon, tidak bermakna parti ini tidak lagi mempunyai aspirasi untuk golongan muda," katanya dalam satu perkongsian video di Facebook hari ini.
Mengulas keputusan speaker DUN Johor yang mengumumkan keluar daripada Umno selepas tidak berpuas hati dengan pengundian calon BN semalam, Akmal berkata, daripada 56 calon yang diumumkan semalam, BN Johor mempertaruhkan 13 calon berusia bawah 40 tahun.
Katanya, ia sekali gus membuktikan komitmen parti untuk memberi ruang kepada generasi muda dalam kepimpinan negeri.
Laporan polis
Sehubungan itu, Akmal menyangkal dakwaan bahawa Umno Johor tidak memberi peluang kepada golongan muda.
“Tuduh Umno tidak ada inspirasi orang muda, sedangkan dulu Datuk (Mohd Puad) pun bertanding pada umur atas 60 tahun,” katanya.
Akmal berkata, Mohd Puad sebelum ini sendiri menyatakan hasrat supaya lebih ramai calon muda diketengahkan dan perkara itu telah dilaksanakan.
"Jadi tidak wajar untuk mengatakan Umno Johor tidak mempunyai aspirasi orang muda hanya kerana permintaan tertentu tidak dapat dipenuhi," katanya.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja dengan proses pengundian calon sebagai tuduhan serius, Akmal berkata, Pemuda Umno akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi raja adalah perkara yang sangat berat.
“Kita mahu perkara ini disiasat dan jika dakwaan itu tidak benar, tindakan sewajarnya perlu diambil," katanya.
Mohd Puad ketika mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta merta, mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan kerana ‘dikawal’ istana.
“Alasan utama saya keluar Umno ialah, Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. Umno Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.





