Ketua jurulatih skuad wanita B-17 negara, Fairuz Montana Zainal Abidin, berharap barisan pemain sedia ada dikekalkan untuk kejohanan akan datang selepas Malaysia menamatkan Piala Srikandi Merdeka 2026 di tempat ketiga.
Fairuz berkata dia berpuas hati dengan prestasi pasukan meskipun tempoh persiapan singkat sebelum beraksi di Kudus, Indonesia.
“Saya harap sangat pemain-pemain yang sedia ada ini dikekalkan, siapa-siapa pun yang bawa (Sebagai jurulatih). Cuma kita akan tambah lagi beberapa orang pemain saja,” katanya kepada TVkini ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dia turut berbangga dengan kemampuan Malaysia bersaing dengan pasukan seperti Indonesia, Jordan dan Thailand.
“Memang saya puas hati. Memang rasa cukup bangga sebab kita mempunyai masa yang singkat untuk persiapkan pasukan.
“Kita lawan di Kudus, Indonesia pun bukan dengan pasukan yang lemah. Ada beberapa pasukan yang kuat macam Indonesia, Jordan dan terutama Thailand,” katanya.
Mohon maaf kerana tidak meraih juara
Dalam pada itu Fairuz memohon maaf kerana gagal membawa Malaysia muncul juara dalam kejohan itu.
Pun begitu jurulatih itu tetap menghargai pingat gangsa yang diraih pemain hasil sokongan keluarga, rakan-rakan dan jurulatih kelab mereka.

“Pertama sekali saya minta maaf sebab tak boleh menjadi juara.
“Tapi alhamdulillah mereka tetap membawa balik pingat untuk ibu bapa mereka, untuk sahabat-sahabat mereka, untuk jurulatih yang mengajar mereka di kelab-kelab,” katanya.
Fairuz turut berharap pemain terus memperbaiki kelemahan selain meminta sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap skuad muda itu.
“Saya harap sokongan anda tidak berhenti di sini sebab mereka ini masih muda lagi, dan saya harap sokongan yang positif untuk pemain-pemain bawah 17 tahun,” katanya.
Keisha mahu teruskan momentum
Sementara itu, kapten skuad Malayan Tigress B-17, Keisha Adeliena, berkata perhatian yang diterima pasukan itu di media sosial menjadi motivasi untuk mereka terus bekerja keras.
“Sejujurnya, rasa sangat seronok melihat kami mendapat perhatian di media sosial.

“Tapi kami mengambilnya sebagai motivasi untuk terus maju dan berlatih bersungguh-sungguh bagi kejohanan akan datang,” katanya.
Keisha menyifatkan tempat ketiga sebagai pengalaman bermakna buat pasukan selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang kejohanan.
“Kami melalui banyak ups and downs bersama, tetapi kami tidak pernah tunduk dan berputus asa. Saya sangat bangga dengan bagaimana kami bersatu sebagai sebuah pasukan,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran bagi kejohanan B-17 akan datang, Keisha menyasarkan Malaysia muncul juara kumpulan.
“Sasaran utama saya untuk kejohanan akan datang, sudah tentu kami mahu menjadi juara kumpulan.
“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik, cuba mempamerkan prestasi terbaik dan memberikan sepenuh usaha dalam latihan serta setiap perlawanan bersama pasukan,” katanya.





