31 C
Kuala Lumpur
Friday, July 3, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ahmad Maslan: BN yakin menang besar PRN Johor

    Shopee Sale

    Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan gabungan itu mampu mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran terdahulu.

    Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata BN berada di landasan terbaik untuk mencapai kemenangan pada PRN Johor ke-16 dengan sasaran memperoleh lebih 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

    Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan pemerhatian dan penilaiannya selepas turun membantu kempen di 25 daripada 26 bahagian Parlimen di Johor.

    “Secara peribadi, rumusan yang ada pada saya dan pemikiran saya dan juga analisis saya bahawa, BN berada dalam keadaan menang,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

    Katanya, penyertaan semula beberapa nama besar dalam inisiatif Rumah Bangsa seperti Datuk Seri Ismail Sabri, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tan Sri Noh Omar yang hadir memberi sokongan ketika penamaan calon turut memberi nilai tambah dalam gerak kerja kempen.

    Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian berkata sasaran itu juga boleh dicapai berdasarkan sambutan pengundi, gerak kerja calon serta kekuatan jentera parti di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

    Beliau berkata sepanjang hampir seminggu kempen berlangsung, jentera BN dilihat aktif dari pagi hingga malam dengan pelbagai gerak kerja termasuk program rumah ke rumah, semakan data pengundi, latihan gerak kerja dan penyelarasan bilik gerakan.

    MENARIK:  Dusuki menang saman fitnah RM306,000 terhadap anak saudara Hadi

    “Saya agak selesa di negeri Johor melihat kekukuhan dan keaktifan jentera di PDM yang kita jadikan markas ataupun bilik gerakan.

    “Di situ daripada pagi sampai malam, ada sahaja aktiviti yang pelbagai, sama ada mereka pergi rumah ke rumah, membuat analisa data, dry run dan macam-macam,” katanya.

    Ahmad berkata kekuatan BN pada PRN kali ini turut dibantu kehadiran jentera angkat dari negeri lain yang berkampung di seluruh Johor bagi memperkukuh gerak kerja sedia ada menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini.

    Beliau berkata pendekatan itu memberi nilai tambah kepada kempen BN kerana jentera luar membawa perspektif, pengalaman dan cadangan baharu dalam usaha menawan hati pengundi.

    “Jentera angkat ini istimewa kerana dia memberi perspektif yang berbeza daripada kebiasaan. Contohnya di Parlimen Pontian, jentera angkat kami ialah Menteri Besar Pahang yang turut membantu DUN Pulai Sebatang, Benut, Kukup dan Pekan Nanas.

    “Perspektif jentera dari Pahang itu memberikan semangat kepada kami, input baharu dan pandangan berdasarkan pengalaman mereka di luar kotak pemikiran kami,” katanya.

    Ahmad berkata beliau akan memberi tumpuan penuh kepada kempen di Johor sehingga hari pengundian, khususnya di kawasan yang dianggap keutamaan BN, termasuk Larkin, Kempas, Kota Iskandar dan Pulai Sebatang.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah