Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas skuad badminton lelaki negara tersingkir pada saingan suku akhir Piala Thomas 2026 kepada juara bertahan China 0-3 di Forum Horsens di Horsens, Denmark hari ini.
Justin, yang turun selaku perseorangan kedua berkata rakan sepasukannya telah melakukan yang terbaik untuk memastikan Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong pada kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia kali ini.
“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia sebab tidak berjaya bawa pulang trofi ke tanah air. Sebagai sebuah pasukan, kami sudah beri segala-galanya.
“Tidak kira apa juga keputusannya, kami sudah cuba yang terbaik kerana seperti yang kita tahu, China pasukan yang kuat dan saya harap rakyat Malaysia faham. Kami akan berjuang lagi dalam edisi akan datang,” katanya kepada Bernama.
Pemain ranking ke-44 dunia itu berkata demikian selepas tumpas 14-21, 13-21 kepada pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng, sekali gus menyaksikan China mara ke separuh akhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia.
Pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi meletakkan China di depan dengan mengatasi tentangan perseorangan lelaki utama Malaysia Leong Jun Hao 21-10, 16-21, 21-9 dalam pertarungan selama 67 minit.
Juara 11 kali itu menggandakan kedudukan apabila pasangan nombor lima dunia Liang Wei Keng-Wang Chang menumpaskan harapan utama dan gandingan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 sebelum Shi Feng muncul wira mengesahkan kemaraan pasukan itu.
Justin pada masa sama mengakui masih terdapat jurang antaranya dan pemain handalan dunia lain sepanjang beraksi pada Piala Thomas 2026.
“Saya dapat banyak pengalaman bermain dengan pemain-pemain terbaik. Namun, saya akan belajar lagi, berlatih dan kembali lebih kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Wooi Yik mengakui mereka melakukan beberapa kesilapan mudah pada saat genting menentang Wei Keng-Wang Chang dengan lawan juga lebih dominan pada set kedua.
Walaupun tumpas kepada Yu Qi, Jun Hao yang dibelenggu prestasi kurang baik ketika ini pula bersikap lebih positif selepas berjaya mengheret jaguh China itu sehingga ke set penentuan.
Keputusan itu juga bermakna Malaysia, yang muncul naib juara Kumpulan B gagal menamatkan penantian 24 tahun untuk mencatat kemenangan ke atas China pada kejohanan ini.
Kemenangan terakhir Malaysia dicatatkan pada edisi 2002 di peringkat separuh akhir ketika China menjadi tuan rumah kejohanan badminton berpasukan berprestij itu di Guangzhou dengan keputusan 3-2.
China akan menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir antara tuan rumah Denmark atau Thailand yang berlangsung lewat hari ini pada peringkat separuh akhir esok.
Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas England, diikuti kemenangan 4-1 menentang Finland sebelum tewas 2-3 kepada juara edisi 2014, Jepun.
Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April berlangsung sehingga Ahad ini.





