28.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Menyokong prinsip semak, imbang bawa perlembagaan

    Shopee Sale

    ULASAN | Kami yang bertandatangan di bawah mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang telah memberikan respon positif terhadap cadangan untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Bagaimanapun, kami amat khuatir bahawa cadangan terkini kerajaan di bawah Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 tidak menyediakan sebarang semak dan imbang yang mencukupi cadangan terkini kerajaan tidak menyediakan semak dan imbang yang mencukupi bagi salah satu pelantikan yang mustahak dalam susunan perlembagaan Malaysia.

    Kami ingin menyatakan dengan tegas sokongan untuk memasukkan pengawasan jawatankuasa parlimen terhadap proses pelantikan pendakwa raya (PR).

    • Peranan PR perlukan perlindungan institusi yang kukuh

    PR memegang kuasa yang besar, termasuk kuasa tunggal untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan pendakwaan jenayah. Memandangkan keluasan kuasa tersebut, dan bukti-bukti pada masa lalu yang ketara mempolitikkan jawatan ini, cara pelantikan PR sewajarnya telus, bermerit, dan dilindungi daripada pengaruh yang tidak wajar.

    RUU semasa mencadangkan untuk memberikan Yang di-Pertuan Agong kuasa budi bicara bagi pelantikan PR atas syor daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), serta selepas berunding dengan majlis raja-raja.

    Adalah wajar untuk diperhatikan bahawa SPKP adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam. Walaupun kami menyambut baik prinsip pemisahan perananan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, cadangan kerangka pelantikan berisiko meletakkan keseluruhan proses di luar kuasa pengawasan parlimen atau awam yang bermakna.

    • Perlembagaan mengizinkan dan menyokong pengawasan oleh Parlimen

    Kami berpendirian bahawa pindaan perlembagaan untuk memasukkan pengawasan parlimen dalam pelantikan PR adalah sepenuhnya diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

    Bertentangan dengan hujah bahawa sebarang penglibatan parlimen adalah tidak berperlembagaan atas premis pelanggaran terhadap prinsip pemisahan kuasa, kami berpandangan bahawa dalam sistem Westminster yang berteraskan kerajaan bertanggungjawab.

    Perlembagaan secara jelas mempertimbangkan pengawasan oleh institusi luar termasuk parlimen dalam pembuatan keputusan eksekutif.

    Beberapa peruntukan perlembagaan utama menyokong kesimpulan ini:

    ● Perkara 39 memperuntukkan kuasa parlimen untuk memberikan fungsi eksekutif kepada pihak lain melalui undang-undang.

    ● Perkara 40(1) dan 40(2) memperlihatkan bahawa entiti selain jemaah menteri boleh diberi kuasa untuk memberikan nasihat yang mengikat kepada Agong.

    ● Budi bicara Agong untuk melantik perdana menteri di bawah 43(2) adalah tertakluk kepada syarat utama bahawa bakal perdana menteri tersebut adalah seorang ahli Dewan Rakyat dan, pada hemat baginda, “mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

    ● Perkara 40(3) memperuntukkan bahawa undang-undang persekutuan boleh mengehendaki Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana individu atau kumpulan.

    ● Perkara 3(5) membenarkan parlimen untuk menubuhkan satu majlis bagi menasihati Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

    ● Berkenaan dengan kuasa Agong untuk melantik Suruhanjaya Pilihan Raya, Perkara 114(2) memperuntukkan bahawa baginda hendaklah mengambil perhatian tentang “peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam”.

    ● Kuasa Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat di bawah Perkara 150(1) adalah tertakluk kepada pengawasan parlimen. Di bawah Perkara 150(3), proklamasi tersebut mesti dibentangkan di bawah kedua-dua dewan dan boleh dibatalkan oleh resolusi kedua-dua dewan atas majoriti biasa.

    Peruntukan-peruntukan ini menunjukkan bahawa perlembagaan tidak mewajibkan proses membuat keputusan yang tertutup atau eksklusif kepada eksekutif, termasuk dalam proses pelantikan bagi jawatan awam tertinggi.

    Kebergantungan kepada kes Semenyih Jaya untuk menolak pengawasan Parlimen adalah tersasar

    Sesetengah pihak berhujah bahawa penglibatan parlimen dalam proses pelantikan pendakwa raya adalah tidak berperlembagaan, dengan bergantung terutamanya kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya lwn Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat [2017] 3 MLJ 561.

    Hujah ini secara asasnya telah tersalah tafsir penghakiman tersebut.

    Dalam kes Semenyih Jaya, Perlembagaan Persekutuan membatalkan peruntukan undang-undang yang memindahkan kuasa pembuatan keputusan kehakiman kepada penilai awam, dengan memutuskan bahawa kuasa kehakiman di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan adalah secara eksklusif dimiliki dan tidak dapat dipindahkan dari mahkamah.

    Mahkamah mengesahkan bahawa kebebasan kehakiman membentuk sebahagian daripada struktur asas perlembagaan dan tidak boleh dicairkan atau diserahkan oleh perundangan biasa.

    Walaupun begitu, alasan keputusan Semenyih Jaya terhad secara ketat kepada kuasa kehakiman dan perlindungan kebebasan kehakiman. Ia melibatkan hubungan antara badan kehakiman dan parlimen - dan tidak langsung menyentuh berkenaan pelantikan oleh badan eksekutif atau hubungan antara eksekutif dan parlimen yang bersifat gabungan, dan bukannya pemisahan yang ketat.

    Pentakrifan kes Semenyih Jaya sebagai larangan umum oleh perlembagaan terhadap apa-apa perananan yang boleh dimainkan oleh parlimen dalam pelantikan jawatan awam tertinggi adalah penyimpangan alasan keputusan kes tersebut.

    Kes ini tidak menyatakan – dan Mahkamah Persekutuan tidak memutuskan – bahawa perananan parlimen adalah terhad kepada meluluskan undang-undang, atau fungsi pengawasan parlimen tidak termasuk pengawasan pelantikan jawatan awam oleh eksekutif.

    Bahkan, Semenyih Jaya sendiri menegaskan bahawa perlembagaan mengandungi prinsip-prinsip yang substantif, merangkumi kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, semak dan imbang dan kebertanggungjawaban demokratik, yang wajar diberikan kesan yang luas dan bermatlamat.

    Sebagaimana yang diputuskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Alma Nudo Atenza lwn PP & Rayuan lain [2019] 5 CLJ 780, perenggan 70-71, teras doktrin pemisahan kuasa adalah keperluan terhadap mekanisme semak dan imbang untuk mengelakkan risiko salah guna kuasa.

    MENARIK:  Shamsul dedah ‘pengorbanan’, disindir ‘terpaling hero’ oleh anak Zahid

    Eksekutif, parlimen dan kehakiman membentuk mekanisme saling semak antara satu sama lain melalui proses mengawal dan dikawal oleh cabang yang lain.

    Prinsip-prinsip yang khusus ini menyokong, bukan melemahkan, alasan-alasan untuk pengawasan parlimen terhadap pelantikan pendakwa raya. Pembacaan yang tepat dan menyeluruh terhadap kes Semenyih Jaya memperkukuh, bukannya mengurangkan, keperluan pengawasan yang bermakna terhadap pelantikan ini.

    • Mekanisme semak dan imbang adalah suatu keperluan berperlembagaan

    Perlembagaan Malaysia mengguna pakai model parlimen Westminster di bawah sistem raja berperlembagaan, yang dicirikan oleh beberapa elemen gabungan eksekutif dan parlimen dari segi komposisi dan kuasa.

    Unsur-unsur percantuman inilah yang menjadikan perananan semak dan imbang parlimen dan kuasa pengawasan ke atas eksekutif amat penting, suatu hakikat yang diiktiraf dalam perlembagaan melalui peruntukan seperti Perkara 43(3) yang memerlukan jemaah menteri bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.

    Perlu diingatkan bahawa RUU tersebut tidak mengalihkan kuasa pelantikan pendakwa raya daripada badan eksekutif. Ia hanya memindahkan kuasa daripada perdana menteri kepada bahagian lain dalam eksekutif dan perkhidmatan awam, iaitu Agong dan SPKP.

    Oleh itu, pengawasan parlimen ke atas pelantikan pendakwa raya bukanlah sebuah penyimpangan daripada model perlembagaan kita bahkan suatu keperluan penting untuk mengekalkan semak dan imbang dalam pelaksanaan kuasa baharu ini.

    Tanpa mekanisme semak dan imbang, cadangan kerajaan berisiko meletakkan pelantikan pendakwa raya di luar pengawasan parlimen dan kehakiman, keadaan yang mana mungkin bertentangan dengan struktur asas perlembagaan.

    Akauntabiliti demokratik, kedaulatan undang-undang, dan pengasingan kuasa adalah nilai perlembagaan asas yang mesti dilindungi secara aktif, bukan dilepaskan secara senyap.

    • Kami tidak menggesa supaya parlimen melantik pendakwa raya

    Penyelesaian perlembagaan yang kami cadangan adalah pengawasan tanpa penggantian. Kami menyeru agar ahli parlimen, sebagai wakil-wakil kepentingan awam yang bertanggungjawab langsung kepada pihak awam, memainkan perananan pengawasan yang bermakna dalam proses pelantikan seperti yang dilakukan di negara-negara seperti Kanada, Jerman, Switzerland, Kenya, Chile dan lain-lain, untuk memastikan ketelusan dan pematuhan dengan kelayakan serta prosedur yang terpiawai untuk mengagihkan kebertanggungjawaban merentas institusi, serta untuk mengurangkan risiko pengaruh tidak wajar ke atas pihak yang akan memegang salah satu daripada jawatan yang paling berkuasa di Persekutuan Malaysia.

    • Seruan kami kepada parlimen

    Kami menyeru ahli parlimen rentas parti untuk:

    ● Menolak sebarang hujahan bahawa pengawasan parlimen dalam proses pelantikan pendakwa raya adalah tidak berperlembagaan. Asas perundangan dan perlembagaan untuk penglibatan sedemikian adalah jelas:

    ● Meminda RUU untuk memasukkan mekanisme pengawasan parlimen yang berstruktur sebagai sebahagian daripada proses lantikan untuk pendakwa raya;

    ● Memastikan mana-mana model akhir yang diterima pakai menjunjung nilai ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan institusi; dan

    ● Menyedari bahawa mengelakkan pelantikan pendakwa raya daripada semua pengawasan tidak mengukuhkan kebebasan pendakwaan, bahkan ia menjejaskannya.

    Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah sebuah detik perlembagaan yang bersejarah bagi Malaysia. Kita harus memanfaatkan detik ini untuk membina institusi yang benar-benar bebas, bertanggungjawab, dan layak mendapat kepercayaan awam.

    Proses pelantikan yang telus dan berlapis-lapis dengan penelitian parlimen bukanlah ancaman kepada matlamat itu, bahkan sebenarnya adalah satu langkah penting untuk mencapainya.

    Pemula
    Ngeow Chow Ying (peguam bela & peguam cara, konvener, Projek Sama)
    Maha Balakrishnan (pakar parlimen & advokasi polisi)

    Sokongan
    1. Mohamad Ariff Md Yusof (mantan hakim Mahkamah Rayuan dan mantan Speaker Dewan Rakyat)
    2. Mohd Hishamudin Md Yunus (mantan Hakim Mahkamah Rayuan)
    3. Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi (mantan pemegang Kerusi Tunku Abdul Rahman di University Malaya)
    4. Kuthubul Zaman Bukhari (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2003-2005)
    5. Yeoh Yang Poh (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2005-2007)
    6. Ambiga Sreenevasan (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2007-2009)
    7. Ragunath Kesavan (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2009-2011)
    8. Christopher Leong (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2013-2015)
    9. Salim Bashir (peguam bela & peguam cara, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia 2020-2021)
    10. Gurdial Singh Nijar (mantan profesor, peguam bela & peguam cara)
    11. M Ramachelvam (peguam bela & peguam cara, Presiden Hakam)
    12. Prof Andrew J Harding (sarjana undang-undang)
    13. Abdul Rashid Ismail (peguam bela & peguam cara)
    14. Shanmuga Kanesalingam (peguam bela & peguam cara)
    15. Fahri Azzat (peguam bela & peguam cara)
    16. Prof Wong Chin Huat (ahli sains politik, Sunway Universiti)
    17. Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid (profesor kehormat, Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia)
    18. Prof Madya Azmil Mohd Tayeb (ahli sains politik, Universiti Sains Malaysia)
    19. Prof Madya Syaza Shukri (Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, UIA)

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah