ULASAN | MMC Port Holdings ialah pengendali pelabuhan Malaysia terbesar di Selat Melaka - yang dilalui oleh kira-kira 25 peratus hingga 40 peratus perdagangan global dan lebih 20 juta tong minyak setiap hari, menjadikannya penting dari sudut geopolitik seperti Selat Hormuz.
Berdasarkan memo dalaman bertarikh 12 Julai, pengerusi eksekutif baharu MMC Port Holdings ialah Sultan Ahmed bin Sulayem (Sultan ialah nama pertamanya, bukan gelaran. Saya akan merujuknya sebagai "Ahmed" sahaja untuk memudahkan pembacaan), dari Emiriah Arab Bersatu.
Tiada pengumuman mengenai pelantikan ini. Berita itu hanya muncul kerana Reuters memperoleh memo berkenaan dan melaporkannya pada 15 Julai.
Memo itu menyatakan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Azman Shah Yusof "berhenti berkhidmat" berkuat kuasa serta-merta. Tiada alasan diberikan. Semua perkara yang sebelum ini diuruskan oleh CEO Kumpulan kini terus ke pejabat Ahmed. MMC tidak membalas permintaan Reuters untuk ulasan.
Selama hampir dua dekad, Ahmed ialah pengerusi dan CEO DP World UAE, salah sebuah syarikat pelabuhan dan logistik terbesar di dunia, yang beroperasi di lebih 80 negara.
Pada 13 Feb tahun ini, Ahmed meletakkan jawatan daripada DP World berkuat kuasa serta-merta.
Disebut 4,700 kali dalam fail Epstein
Masa peletakan jawatan itu sangat jelas: ia berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas Jabatan Kehakiman AS mengeluarkan fail Epstein - himpunan dokumen besar daripada siasatan terhadap Jeffrey Epstein, ahli kewangan dan pesalah seks disabitkan yang meninggal dunia di penjara pada 2019 sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.
Nama Ahmed muncul dalam dokumen berkenaan lebih 4,700 kali.
Paling membimbangkan, petikan kata demi kata daripada fail Epstein menunjukkan bahawa Ahmed berada di pusat saluran belakang peribadi antara UAE dan Israel - yang diantarakan secara peribadi oleh Epstein - bertahun-tahun sebelum Perjanjian Abraham menjadikan hubungan itu terbuka dan rasmi pada 2020.

Pada 22 Mac 2012, Epstein didakwa menulis kepada Ahmed: "Saya berada di Berlin bersama menteri pertahanan Israel. Saya telah beritahu tentang kamu dan Sheikh Mohamed. Dia mahu bertemu kamu berdua." Menteri pertahanan Israel ketika itu ialah Ehud Barak.
Pada Jun 2013, Epstein menulis kepada Barak: "Rakan saya Sultan bin Sulaiman berada di St Pete, saya fikir kamu patut jumpa, dia tangan kanan Maktoum" - merujuk kepada Ahmed dan Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai.
Bulan berikutnya, Epstein memajukan berita kepada Barak mengenai Israel yang menjemput bidaan antarabangsa untuk pelabuhannya, sambil bertanya: "Adakah ini sesuatu untuk Sultan?" Barak membalas: "Mungkin apabila (dan JIKA) kita mula memasuki proses perdamaian yang ikhlas dengan lebih mendalam."
Jelang Jun 2015, pengenalan itu lengkap. Epstein menghantar e-mel kepada kedua-dua mereka secara bersama: "Ehud, Sultan. Sultan, Ehud."
Dan pada Julai 2018, apabila Ahmed melawat Tel Aviv untuk rawatan perubatan anak perempuannya, dia menghantar e-mel terus kepada Barak, mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri itu "atas bantuan kamu dengan visa kami."
Barak tokoh utama Israel
Barak ialah bekas perdana menteri dan menteri pertahanan Israel, serta askar yang menerima pingat terbanyak dalam sejarah ketenteraan Israel. Dia bukan tokoh picisan; dia adalah tokoh paling teras dalam kepimpinan Israel.
Sebagai perdana menteri pada Oktober 2000, Barak mengarahkan polis Israel - termasuk unit penembak hendap - untuk menindas protes solidariti Palestin di dalam Israel. Tiga belas penunjuk perasaan tidak bersenjata ditembak mati, 12 daripada mereka warga Israel. Tiada pegawai polis yang pernah dituduh. Barak sendiri kemudian menerima tanggungjawab peribadi atas kejadian itu.
Lebih membimbangkan, sebagai menteri pertahanan, Barak meluluskan dan memimpin Operasi Cast Lead, serangan 22 hari Israel ke atas Gaza yang dilancarkan pada Disember 2008. Gaza ketika itu berada bawah sekatan teruk Israel sejak 2007 - sekatan yang telah diikrarkan oleh Israel untuk dilonggarkan di bawah perjanjian gencatan senjata, tetapi sebahagian besarnya tidak dilakukan.

Sepanjang 22 hari Operasi Cast Lead, kira-kira 1,400 warga Palestin terkorban, termasuk sekitar 300 kanak-kanak, di salah satu tempat paling padat dengan penduduk di bumi. Fosforus putih ditembak ke dalam hospital dan kompleks utama PBB di Bandar Gaza. Misi pencarian fakta PBB sendiri menemukan bukti jenayah peranang. Apabila Barak melawat Britain pada 2009, peguam Palestin cuba menangkapnya.
Virginia Giuffre, salah seorang mangsa Epstein yang paling terkenal, turut menuduh seorang perdana menteri (yang dipercayai ramai sebagai Barak) merogolnya secara kejam, menyebabkan Barak mengeluarkan penafian.
Rentas lebih sedekad
Inilah lelaki yang dengannya Ahmed, yang kini memegang jawatan menguruskan pelabuhan strategik terpenting Malaysia, membina hubungan - melalui khidmat Epstein. Lelaki yang membantu dia dan anak perempuannya mendapatkan visa ke Israel.
Kemudian terdapat isu seks dan misogini yang melibatkan Ahmed secara langsung.
Surat-menyurat antara Ahmed dan Epstein merentasi lebih sedekad, bermula pada 2007 dan berterusan lama selepas sabitan Epstein pada 2008 kerana melanggan pelacuran daripada kanak-kanak bawah umur. Saya tidak akan memaparkan sebahagian besar daripadanya kepada pembaca, tetapi cukuplah tiga pertukaran mesej (direproduksi kata demi kata).

Pada April 2009, Epstein menulis kepada Ahmed: "Di mana kamu? Kamu OK? Saya suka video seksaan itu." Video seksaan apa yang dipertukarkan, kita tidak tahu.
Dalam perbualan lain, terdapat perbincangan berkaitan seorang kenalan wanita bersama, Ahmed menulis bahawa "dia mahukan BUSINESS! manakala saya hanya mahukan PUSSYNESS!" Jawapan menjijikkan Epstein? "Praise Allah, masih ada orang seperti kamu."
Pada September 2015, Ahmed menghantar foto seorang wanita kepada Epstein, dengan ulasan: "Seks terbaik yang pernah saya nikmati badan yang menakjubkan."
Epstein, bagi pihak dirinya, menggambarkan Ahmed sebagai "salah seorang rakan saya yang paling dipercayai dalam setiap makna perkataan, kamu tidak pernah mengecewakan saya, tidak sekali, walau sedikit pun."
Barak sejak itu berkata dia menyesal pernah mengenali Epstein. Ahmed, sehingga kini, tidak berkata apa-apa langsung.
Kepentingan nasional
MMC Ports beroperasi bawah lesen dan konsesi yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia. Pelabuhannya mengendalikan anggaran 15 hingga 20 peratus daripada semua kargo yang bergerak melalui Selat Melaka. Apa yang berlaku di syarikat ini secara terang-terangan ialah perkara kepentingan nasional.
Adakah kerajaan tahu? Adakah Kementerian Pengangkutan mempunyai pandangan? Adakah sesiapa di Putrajaya dirujuk - atau dimaklumkan langsung?
Diam itu, setakat ini, adalah jawapannya sendiri.
Fikirkan apa yang terancam. Selat Melaka membawa kira-kira satu perempat daripada perdagangan global. Ia adalah antara laluan transit minyak terpenting dunia.

Perbandingan dengan Selat Hormuz - titik tumpu geopolitik yang mungkin menandakan berakhirnya lapan dekad dominasi empayar Amerika - tidak dapat dielakkan.
Kepentingan selat ini sekiranya China menceroboh Taiwan tidak boleh dipandang ringan sama sekali.
Sama seperti Hormuz di pusat gempa peranang Iran, Melaka akan menjadi sama penting secara global seperti pada zaman Parameswara. Ia boleh menentukan keseluruhan nasib Malaysia.
Dan kini, dengan tata baru dunia sedang dibentuk, adakah kita benar-benar mahu percaya bahawa kita menyerahkan kepimpinan semua pelabuhan terpenting kita di sepanjang selat ini ke tangan seorang lelaki yang begitu mendalam penglibatannya dengan pihak yang “terpaling” Zionis.
Tiada toleransi untuk Zionist
Kita tidak dapat elak daripada teringat kembali skandal Blackrock Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan skandal Network School di Johor yang sedang terbongkar - kedua-duanya didakwa melibatkan kepentingan Israel dan penyokong Zionis.
Skandal MAHB sangat relevan, kerana ia menunjukkan mungkin ada sejenis percubaan terancang oleh pihak tertentu untuk mendapatkan pengaruh ke atas infrastruktur pengangkutan utama Malaysia - pengaruh yang jelas menunjukkan simpati kepada Zionis.
Cara skandal Network School yang melibatkan Balaji Srinivasan meletup dalam kemarahan awam juga patut menjadi peringatan tegas kepada semua orang yang berkuasa bahawa rakyat Malaysia tidak akan pernah bertoleransi dengan apa-apa yang ada kaitan dengan Zionis.

Saya benar-benar tidak percaya bahawa tidak ada seorang pun calon di seluruh dunia yang berkelayakan untuk memimpin MMC Port Holdings yang tidak mempunyai hubungan terdokumentasi dengan dalang jenayah peranang kejam Israel yang membunuh ribuan rakyat Palestin; yang membawa anak perempuannya ke Tel Aviv untuk rawatan perubatan, daripada semua tempat di dunia; dan yang bersenang-senang dengan perogol kanak-kanak di pulau perogolan kanak-kanak mereka.
Adakah benar-benar tiada orang lain yang ada?
Pabila pemimpin kita membuat pertunjukan besar menyatakan sokongan mereka kepada Palestin, dan perjuangan menentang Zionisme genosid - adakah kita benar-benar serius? Atau adakah ia sekadar cakap kosong?
Jika kita membiarkan lelaki seperti ini mengawal pelabuhan kita di sepanjang Selat Melaka, ia seperti Malaysia memberikan Zionis akses kepada aset kita yang paling sensitif dan penting.
Adakah kita benar-benar akan berdiam diri dan membiarkan perkara itu berlaku?
NATHANIEL TAN ialah perunding komunikasi strategik. Dia menciap di @NatAsasi dan boleh dihubungi di [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





