34 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ucapan hari jadi mesej terakhir mangsa insiden bot jatuh di pelantar minyak

    Shopee Sale

    Adik kepada seorang pekerja kontraktor yang maut dalam insiden di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan tengah hari semalam, berkata ucapan hari jadi melalui WhatsApp menjadi kiriman terakhir Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid kepada ahli keluarga.

    Nurul Ain Shazwani, 30, berkata kali terakhir Nik Muhammad Hafifi Asri, 38, anak keempat daripada tujuh beradik, berhubung dengan keluarga ialah pada Isnin lepas untuk memberi ucapan hari lahir kepada kakaknya Nurul Ain Safiqah, 31.

    “Abang mengucapkan selamat hari lahir kakak, semoga murah rezeki dan dipermudah urusan. Arwah sudah bekerja lebih kurang lapan tahun dengan syarikat perkapalan itu dan lebih 10 tahun dalam bidang offshore.

    “Biasanya arwah ke kapal antara dua minggu hingga sebulan dan kali ini sepatutnya balik 1 Jun. Tak sangka arwah pergi dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sebelum kembali ke kapal pada Ahad lepas, Nurul Ain Shazwani berkata arwah abangnya berpesan supaya membantu menguruskan rumah baharunya di KotaSAS, Kuantan, Pahang untuk dijadikan inap desa.

    Nurul Ain Shazwani berkata kehilangan arwah yang belum berkahwin pasti dirasai semua ahli keluarga kerana sifatnya yang penyayang serta mengambil berat hal adik-beradik, selain mereka tinggal bertiga dengan seorang lagi kakak di rumah pusaka peninggalan orang tua Indera Mahkota 2, Kuantan.

    Wanita itu berkata jenazah abangnya akan disolatkan di Masjid Al-Imam As-Shafie, KotaSAS sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

    MENARIK:  ULASAN | Pencalonan Samsuri bukti kepimpinan ulama PAS luntur

    Sementara itu abang kepada seorang lagi mangsa yang maut, Ahmad Syafiq Zakaria, 40, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarham Ahmad Fiqri, 38, ialah pada Aidilfitri lepas.

    Dia yang menetap di Johor berkata arwah sebelum ini bekerja sebagai juruteknik kilang di Selangor sebelum menyertai syarikat perkapalan itu kira-kira setahun lepas.

    “Arwah dulu belajar di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan sebelum bekerja di kilang, pernah bekerja di offshore. Memang sudah ada pengalaman kerja di laut,” katanya yang dimaklumkan kejadian itu kira-kira 6 petang semalam.

    Ahmad Syafiq berkata arwah, anak ketiga daripada empat beradik meninggalkan isteri Siti Aisyah Ahmad, 38, dan anak lelaki berusia 10 tahun.

    Lelaki itu berkata adiknya disenangi semua kerana sikapnya yang lemah-lembut, penyayang dan suka membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan.

    Dia memberitahu jenazah akan dibawa ke Alor Gajah, Melaka untuk solat di Masjid Al-Najihin Padang Sebang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang.

    Semalam, tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di platform Sepat pada kira-kira 12.50 tengah hari.

    Selain Nik Muhammad Hafifi Asri dan Ahmad Fiqri, turut maut ialah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan manakala Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, cedera parah dan dirawat di HSNZ.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah