25.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Al-Quran patut jadi petunjuk, bukan peluru politik

    Shopee Sale

    ULASAN | Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk, pembeza antara yang benar dengan yang salah, pembimbing akhlak dan cahaya yang membawa manusia keluar dari kegelapan.

    Namun, dalam suasana bahang politik yang tidak pernah reda, terdapat satu kecenderungan yang wajar kita bimbangi apabila ayat-ayat al-Quran tidak lagi dibaca untuk membimbing diri dan masyarakat, sebaliknya dipilih-pilih mengikut rasa bagi menghukum mereka yang berbeza pandangan.

    Lebih membimbangkan apabila ayat-ayat yang mengandungi ancaman keras terhadap mereka yang menyembunyikan kebenaran, menjual agama demi habuan dunia atau berpaling daripada petunjuk Allah digunakan untuk melabel ulama yang tidak sependapat dengan sesuatu kelompok.

    Lalu muncullah gelaran seperti “ulama terompah”, “ulama kerajaan”, “ulama dunia” atau “ulama al-suk” hanya kerana seseorang ilmuwan atau ulama mengambil pendirian politik yang berbeza, tidak menyokong parti tertentu atau memberikan pandangan agama yang tidak memenuhi kehendak sesuatu kumpulan.

    Persoalannya, adakah semudah itu kita boleh memindahkan ayat ancaman al-Quran kepada seseorang hanya kerana mereka berbeza pandangan dengan kita?

    Antara ayat yang sering digunakan sebagai ‘peluru’ ialah ayat 159 surah al-Baqarah: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab, mereka itulah yang dilaknat Allah dan dilaknat oleh mereka yang dapat melaknat.”

    Begitu juga ayat 174 surah yang sama: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah daripada Kitab dan menukarkannya dengan harga yang sedikit, mereka itu sebenarnya tidak memakan ke dalam perut mereka melainkan api...”

    Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, ayat-ayat tersebut dihuraikan dalam konteks golongan Ahli Kitab yang menyembunyikan keterangan yang mereka ketahui daripada kitab mereka.

    Sudah tentu pengajaran ayat tersebut tidak terhenti pada asbab an-nuzul itu semata-mata.

    Sesiapa sahaja yang mengetahui kebenaran agama kemudian sengaja menyembunyikannya kerana kepentingan dunia perlu takut kepada ancaman tersebut.

    Berbeza dianggap khianat

    Namun, mengambil pengajaran umum daripada sesuatu ayat tidak sama dengan menetapkan bahawa seseorang individu tertentu pasti termasuk dalam ancaman ayat berkenaan.

    Dalam disiplin usul fiqh terdapat satu kaedah yang masyhur iaitu al-‘ibrah bi ‘umum al-lafz la bi khusus al-sabab, iaitu pengajaran sesuatu nas diambil berdasarkan keumuman lafaz dan tidak terhad semata-mata kepada sebab khusus turunnya ayat.

    Bagaimanapun, kaedah ini tidak memberikan lesen kepada kita untuk sewenang-wenangnya mengaitkan ancaman al-Quran dengan sesiapa yang kita kehendaki. Keumuman sesuatu pengajaran tidak bermakna kita bebas melakukan ta‘yin, iaitu menetapkan bahawa individu tertentu semestinya termasuk dalam celaan atau ancaman yang disebut oleh al-Quran.

    Masalah menjadi lebih serius apabila pendapat sendiri dianggap sebagai satu-satunya pandangan agama yang benar dan tidak boleh dicabar. Para pengikut pula menerimanya tanpa banyak soal sehingga perbezaan pandangan tidak lagi dilihat sebagai ruang ijtihad, tetapi kononnya tanda kelemahan iman, pengkhianatan atau penyelewengan daripada perjuangan agama.

    Yusuf al-Qaradawi memberikan peringatan yang sangat dekat dengan masalah ini.

    Dalam al-Sahwah al-Islamiyyah bayna al-Juhud wa al-Tatarruf, beliau meletakkan antara tanda awal ekstremisme ialah fanatik terhadap pendapat sendiri dan tidak mengiktiraf pandangan orang lain.

    Al-Qaradawi turut membawa riwayat daripada Nafi‘ mengenai pandangan Ibnu Umar terhadap golongan Khawarij.

    Antara masalah golongan tersebut ialah mereka mengambil ayat yang diturunkan berkaitan orang kafir lalu menerapkannya kepada orang beriman.

    Peringatan ini bukan bermaksud ayat yang turun berkaitan orang kafir tidak boleh menjadi pengajaran kepada orang Islam. Sudah tentu ayat tersebut boleh dijadikan iktibar.

    Namun, mengambil pengajaran daripadanya tidak bermakna kita boleh terus menghukum orang lain dengan ancaman yang terkandung dalam ayat tersebut.

    Kita boleh membaca kisah Firaun untuk mengambil pengajaran tentang bahaya kezaliman, tetapi bukan setiap pemimpin yang kita tidak sukai boleh terus disamakan dengan Firaun, misalnya.

    Kita juga boleh mengambil iktibar daripada Haman sebagai gambaran bagaimana kedudukan dan pengaruh boleh digunakan untuk mendukung kezaliman, tetapi bukan setiap pegawai kerajaan atau mereka yang bekerja dengan pemerintah boleh digelar sebagai Haman.

    MENARIK:  Kes peniaga belon: Bapa 5 anak didenda RM6,000

    Usaha memahami wahyu

    Begitu juga kisah Qarun yang mengingatkan kita tentang kesombongan dan penyalahgunaan kekayaan, tetapi bukan setiap orang kaya boleh dihukum sebagai Qarun.

    Prinsip yang sama terpakai pada ayat tentang mereka yang menjual agama demi habuan dunia. Ayat tersebut wajar menjadi peringatan kepada semua agamawan, tetapi bukan setiap ulama yang menerima jawatan kerajaan, berkhidmat dengan institusi negara atau tidak menyokong parti tertentu boleh terus dihukum sebagai penjual agama.

    Di sinilah pentingnya kita membezakan antara wahyu dengan kefahaman manusia terhadap wahyu.

    Fahmi Huwaidi dalam al-Tadayyun al-Manqus mengingatkan bahawa pandangan dan ijtihad manusia sentiasa mempunyai kemungkinan benar atau salah. Beliau menegaskan kepentingan membezakan antara nas syarak yang bersumber daripada wahyu Ilahi dengan ijtihad manusia yang dibatasi oleh kemampuan, pengalaman dan kefahaman seorang makhluk.

    Al-Quran ialah wahyu, tetapi kefahaman kita terhadap al-Quran merupakan usaha manusia memahami wahyu. Agama datang daripada Allah, tetapi pendirian politik manusia bukan wahyu daripada Allah.

    Fatwa dan ijtihad seorang ulama boleh dinilai, dibahas dan dikritik, sebagaimana tafsiran kita sendiri juga terbuka untuk dinilai, dibahas dan dikritik.

    Setinggi mana pun ilmu seseorang, dia tetap bukan maksum. Kesalahan boleh berlaku dan teguran tetap wajar diberikan.

    Begitu juga institusi agama rasmi juga tidak seharusnya dianggap kebal daripada kritikan. Namun, kritikan hendaklah ditujukan kepada hujah, dalil, metodologi dan pendirian yang dikemukakan, bukan berubah menjadi tuduhan terhadap iman, niat dan keikhlasan seseorang.

    Seorang ulama yang memilih pendirian politik yang berbeza tidak semestinya telah menjual agamanya.

    Seorang ilmuwan yang tidak bersetuju dengan tafsiran kita terhadap sesuatu isu juga tidak semestinya sedang menyembunyikan kebenaran. Begitu juga seseorang yang berkhidmat dalam institusi kerajaan tidak boleh dengan mudah dilabel sebagai “ulama kerajaan” dalam pengertian menghina.

    Apabila budaya melabel mengambil tempat budaya berhujah, masyarakat tidak lagi dididik untuk menilai dalil secara matang. Sebaliknya, mereka mula menilai sesuatu pandangan berdasarkan siapa yang mengucapkannya.

    Jika orang itu daripada kelompok sendiri, kesalahannya mudah diberikan alasan dengan dalil tertentu. Tetapi jika ia datang daripada kelompok lawan, setiap perkataannya pula dicari kelemahan.

    Pertanyaan buat diri sendiri

    Firman Allah SWT: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah ayat 8).

    Ukuran sebenar keadilan bukanlah ketika kita berhadapan dengan orang yang kita sayangi atau kelompok yang kita sokong.

    Ujian sebenar keadilan muncul ketika kita berhadapan dengan mereka yang kita tidak sukai dan pandangan yang kita tidak persetujui.

    Sebelum menggunakan ayat-ayat ancaman al-Quran untuk menghukum orang lain, mungkin lebih baik kita terlebih dahulu membacanya sebagai teguran kepada diri sendiri. Apabila membaca ayat tentang manusia yang mengikuti hawa nafsu, kita patut bertanya sama ada hawa nafsu sedang mempengaruhi cara kita memahami al-Quran.

    Apabila membaca ayat tentang menyembunyikan kebenaran, kita juga perlu bertanya sama ada kita sendiri bersedia menerima kebenaran apabila ia datang daripada orang yang tidak kita gemari.

    Begitu juga ketika membaca ancaman terhadap mereka yang menjual agama demi kepentingan dunia, kita perlu bertanya sama ada kita sendiri sedang memperalatkan agama demi kemenangan kelompok yang kita dukung.

    Al-Quran tidak seharusnya dijadikan milik eksklusif sesiapa pun. Ia ialah petunjuk Allah untuk membimbing seluruh manusia kepada kebenaran, keadilan dan akhlak yang luhur.

    Justeru, al-Quran sewajarnya dibaca terlebih dahulu untuk mencari petunjuk, bukan untuk mencari peluru bagi menyerang mereka yang berbeza pandangan.


    AHMAD SHUKRI YUSOFF ialah pembaca Malaysiakini yang sesekali mengisi masanya untuk berdakwah.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah