Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mencabar kerajaan AS untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Ini susulan penafian oleh Kedutaan AS terhadap dakwaan Hadi bahawa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika di bawah pentadbiran Najib Razak.
Pemimpin DAP itu berkata penafian saja tidak cukup kerana menurutnya tuduhan Hadi sangat "luar biasa" dan melibatkan keselamatan negara.
"Ini isu yang serius. Penafian diplomatik oleh AS saja tidak cukup.
"Saya cabar kerajaan AS saman Hadi jika dakwaan luar biasa dibuat Hadi tidak benar.
"Hanya itu cara rakyat Malaysia tahu siapa yang bercakap benar," kata Rayer dalam kenyataan media hari ini.
Awal hari ini, Kedutaan AS menafikan dakwaan presiden PAS itu dan menyifatkan ia sebagai tuduhan palsu.
“AS tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia. Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu,” kata David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur, dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini.
Sementara itu Rayer menambah bahawa sekiranya dakwaan Hadi benar, AS perlu menjelaskan dakwaan cubaan campur tangan dalam politik Malaysia.
Jika sebaliknya, kata Rayer, Washington tidak boleh sekadar menafikannya kerana ia melibatkan tuduhan campur tangan kuasa asing dalam negara demokratik.

Dalam ucapan penggulungan pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu semalam, Hadi mendakwa tawaran tersebut dibuat ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia.
Ketika itu, katanya, beberapa pemimpin PAS telah dijemput menghadiri satu acara di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Kedua-dua lawatan Obama ke Malaysia pada 2014 dan 2015 berlaku ketika Najib Razak masih menjadi perdana menteri.
Hadi berkata perkara itu berlaku ketika PAS merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat.
Dia turut berkata Setiausaha Agung PAS ketika itu, Takiyuddin Hassan, dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, turut menghadiri acara berkenaan.
Hadi berkata dia menghadiri jemputan itu bersama bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.





