Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal bimbang peluang menemukan insan tersayang mereka dalam keadaan hidup semakin tipis apabila operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ke-11.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), R Manivannan berkata kumpulan itu memahami kelewatan penghantaran pasukan sebahagiannya disebabkan keperluan mendapatkan kelulusan kerajaan Nepal.
Bagaimanapun, keluarga mangsa masih amat sedih, kecewa dan bimbang apabila Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) hanya dikerahkan pada hari ke-11. Mereka menegaskan setiap hari yang berlalu mengurangkan peluang menemukan mangsa terselamat.
“Kami berharap pasukan Smart akan menggunakan semua maklumat yang dikumpulkan keluarga sejak hari pertama, termasuk gambar, video, koordinat GPS, rekod komunikasi dan maklumat mengenai lokasi terakhir mangsa yang diketahui, bagi menjalankan pencarian seluas mungkin.

“Pada masa sama, keluarga percaya operasi kini perlu dijalankan serentak di dua lapangan: mencari mereka yang mungkin masih hidup dan mengenal pasti mereka yang terkorban,” kata Manivannan kepada Malaysiakini.
Dia berkata selepas 11 hari berlalu, pasukan forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) perlu dikerahkan tanpa berlengah lagi, sambil menggesa pihak berkuasa mempercepat proses pengumpulan dan pemadanan DNA.
Singapura, Jepun pertingkat bantuan
Manivannan berkata Singapura dan Jepun turut menggerakkan kepakaran khusus bagi membantu mengenal pasti mangsa di Nepal.

“Harapan kami sangat mudah. Jika mereka masih hidup, cari mereka dan bawa mereka pulang.
“Jika mereka telah meninggal dunia, temukan mereka, kenal pasti mereka dan bawa mereka pulang dengan penuh maruah.
“Satu lagi persoalan yang sangat dekat di hati saya sebagai ahli keluarga ialah: Adakah pasukan Smart akan memberikan tumpuan kepada kawasan pusat bencana?
“Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan keluarga, kami percaya sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia yang masih hilang berada di dalam atau sekitar kawasan pusat bencana ketika kejadian berlaku,” kata Manivannan.

Adik perempuan Manivannan, R Komathi yang menyertai kumpulan pendakian, antara mangsa yang masih belum ditemukan susulan banjir besar seakan-akan tsunami dan aliran lumpur maut yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Bencana itu meragut lebih 1,300 nyawa manakala ribuan lagi masih hilang.
“Apa yang agak mengecewakan ialah sehingga hari kesembilan, kami dimaklumkan kerajaan masih berusaha mendapatkan lokasi terakhir yang diketahui melalui syarikat telekomunikasi Nepal, sedangkan keluarga sudah mempunyai maklumat lokasi, gambar, video dan koordinat GPS sejak hari pertama,” kata Manivannan.
Dia turut mendakwa tiada pihak mendekati keluarga rakyat Malaysia yang hilang untuk mengumpulkan dan mengesahkan maklumat tersebut, selain pertanyaan ringkas daripada polis ketika sampel DNA diambil.

“Jadi, soalan saya mudah. Apabila pasukan Smart tiba di Nepal, adakah mereka akan segera memberikan tumpuan kepada kawasan pusat bencana berdasarkan semua maklumat yang sudah tersedia, atau mereka masih akan menghabiskan masa menentukan lokasi terakhir mangsa yang diketahui?
“Bagi keluarga, setiap jam amat berharga,” tambahnya.
Manivannan berkata proses pengumpulan sampel DNA daripada waris kini memasuki peringkat akhir, dengan 52 sampel berjaya diperoleh setakat Khamis.
[Baca berita asal]





