33.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 5, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Hadi dakwa Amerika pernah tawar PAS jatuhkan Najib

    Shopee Sale

    PAS MUKTAMAR | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa wakil Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.

    Dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu hari ini, ahli parlimen Marang itu berkata tawaran berkenaan dibuat ketika salah satu lawatan bekas presiden AS Barack Obama ke Malaysia, apabila beberapa pemimpin PAS diundang menghadiri satu majlis di Kedutaan AS.

    Menurut Hadi, kejadian itu berlaku ketika PAS masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat (dari April 2008 ke Jun 2015).

    Katanya, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjadi setiausaha politiknya ketika itu, turut menghadiri majlis berkenaan.

    “Nak ajak bincang, sanggup nak jatuh kerajaan, nak ambil alih kerajaan. Amerika sanggup tolong ini,” cerita Hadi.

    Dia menegaskan Takiyuddin dan Samsuri, yang kini juga menteri besar Terengganu, tidak “terpengaruh” dengan tawaran tersebut.

    “Dua-dua orang kita ini istiqamah, pasal tak terpengaruh.

    “Lalu akhirnya, duta Amerika minta nak jumpa saya,” katanya.

    Hadi berkata dia memenuhi undangan tersebut dengan ditemani bekas setiausaha agung PAS Mustafa Ali.

    “Dia tanya, ‘Siapa PAS cadang jadi perdana menteri?’

    “Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’

    “Tergamam dia!

    “Saya jawab, ‘Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?’ Itu jawapan daripada saya,” katanya.

    Menurut Hadi, dia kemudian menceritakan pertemuan itu kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

    MENARIK:  PRN N Sembilan: Bersatu umum tanding 24 kerusi guna logo sendiri

    “Saya cerita pada Mahathir. Mahathir kata bagus, jawabnya. Bagus,” katanya.

    Kedua-dua lawatan Obama ke Malaysia, masing-masing pada April 2014 dan November 2015, berlangsung ketika Najib menjadi perdana menteri.

    Najib mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

    Gambar fail, Najib Razak bersama Abdul Hadi pada himpunan solidariti terhadap genosid Rohingya pada 2017.

    Pada sidang media selepas Muktamar PAS berakhir hari ini, Takiyuddin mengesahkan wakil Kedutaan AS pernah bertanya sama ada PAS merancang menjatuhkan kerajaan BN ketika itu.

    “Wakil daripada kedutaan tanya adakah PAS merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada masa itu?

    “Jadi, kami tak bagi apa-apa keputusanlah, lantas kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar.

    “Sebab politik negara kita, negara kitalah. Tak boleh campur tangan luar.

    “Kalau parti lain nak campur tangan luar nak menjatuhkan, itu ikut merekalah. Kami tidak,” katanya.

    Pada 2015, Hadi dilaporkan menggesa Mahathir menghentikan usahanya untuk menjatuhkan Najib kerana sebarang pertukaran perdana menteri perlu dilakukan melalui proses pengundian secara demokratik.

    Gesaan itu dibuat dalam wawancara bersama Channel News Asia selepas Hadi berkata Najib perlu diberi peluang menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri kerana dipilih secara demokratik.

    Malaysiakini sedang menghubungi pihak Kedutaan AS dan Dr Mahathir bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Hadi itu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah