Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menjelaskan jawatan timbalan exco yang baru diperkenalkan di negeri itu tidak dianggap sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Menurutnya, pelantikan 10 orang timbalan exco itu dibuat dalam ruang pentadbiran kerajaan negeri.
“Mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak exco, tidak menghadiri mesyuarat majlis kerajaan negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
“Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Onn berkata demikian sebagai menjawab pihak yang mengkritik keputusan kerajaan Johor melantik 10 orang Adun sebagai timbalan exco.
Terdahulu Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim antara yang tampil mempersoalkan pelantikan berkenaan.
Hujahnya, Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor mahupun Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan pelantikan jawatan timbalan exco.
Sementara itu, Adun Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa kerajaan negeri menjelaskan secara terbuka rasional pelantikan itu, skop perundangannya, implikasi kewangan serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan digunakan untuk menilai mereka.
Hassan merujuk Fasal 2(b), Bahagian I, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa atas nasihat menteri besar, Raja hendaklah melantik tidak lebih daripada 10 dan tidak kurang daripada empat anggota Dewan Undangan Negeri sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun Onn menjelaskan, pelantikan itu tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baru, tidak memindahkan kuasa ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri.
Tambahnya, ia juga tidak mengubah mandat yang telah diberikan oleh rakyat melalui pilihan raya, sebaliknya merupakan satu mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Lantikan ini bukan bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan.
“Sebaliknya, ia diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu-isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan,” katanya yang juga Adun Machap.
Onn turut menyoroti betapa Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang tahun 2030.
Seiring dengan perkembangan ini ujarnya, kapasiti pentadbiran juga perlu diperkukuhkan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor.
“Pelantikan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum, dengan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada Kerajaan Negeri.
“Tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri,” jelasnya lagi.





