Selepas lebih tiga dekad dalam industri muzik, kugiran legenda Spider bakal kembali ke negeri kelahiran mereka menerusi konsert Sengat Selatan Spider pada 30 Januari 2027.
Artikel Berkaitan: ‘Kami Hilang 2 Sahabat, Tapi Tak Pernah Patah Semangat’ – Spider Dedah Rahsia Utuh Selama 30 Tahun
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tak Perlu Gimik, Konsert ‘Spider Unplugged’ Bikin Peminat Teruja Sampai Panjat Kerusi!
Ngam Hoi

Konsert anjuran Icon Entertainment itu bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, menampilkan Tam, Iss, Pown dan Aie yang bakal kembali beraksi di negeri kelahiran mereka.
Menerusi bimbingan Datuk M. Nasir di bawah Luncai Emas, Spider berjaya mencipta identiti tersendiri dan meraih Album Terbaik di AIM ke-12.
Ketika ditemui , pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, konsert itu cukup bermakna kerana Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik Spider sebelum dikenali di seluruh negara.
Selepas tiga dekad menghiburkan peminat di pelbagai pentas, peluang untuk membawa karya Spider kembali ke Johor pastinya mempunyai makna yang berbeza.
Di sinilah segalanya bermula. Di negeri inilah benih kecintaan Spider terhadap muzik disemai sebelum mereka berkembang menjadi antara kugiran dengan identiti tersendiri yang meninggalkan pengaruh dalam belantika muzik Malaysia.
Sebab itu kami di Icon Entertainment berasa tiga dekad atau 30 tahun Spider mesti dirayakan di negeri kelahiran mereka. Ini momen yang sangat ‘Ngam Hoi’.
Iman berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Sengat Selatan Spider di Restoran Shook, JW Marriot Hotel Kuala Lumpur, pada Isnin.
Momen kami impikan

Dalam pada itu, Tam turut berkongsi keterujaan apabila Spider berpeluang mengadakan konsert berskala besar di Johor Bahru, sekali gus memenuhi impian mereka untuk beraksi di negeri kelahiran sendiri.
Mungkin ada yang pernah menyaksikan Spider di Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau negeri lain, tetapi buat Spider untuk beraksi dalam sebuah konsert berskala besar di Johor Bahru adalah momen yang sekian lama kami impikan.
Bumi Johor adalah saksi kepada mimpi-mimpi kami, permulaan perjalanan kami, maka di sini juga Spider mahu peminat khususnya di Selatan memperoleh nikmat mendengarkan karya-karya kami yang telah hidup subur bersama mereka dimainkan secara langsung sekali gus bersama merayakan tiga dekad Spider.
Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Aladin, Kacap Terlabik, Nazraku, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi serta beberapa karya popular lain yang pastinya mengimbau kenangan peminat terhadap perjalanan muzik Spider.
Dikenali dengan karya berunsur satira yang turut mendapat sentuhan Allahyarham Loloq, Spider bakal menghidupkan pentas menerusi gabungan muzik ska, pop dan rock yang menjadi identiti mereka sejak dahulu.
Sekadar info, tiket konsert Sengat Selatan Spider akan dijual pada harga RM88 hingga RM288, manakala kategori Johor Bahru berharga RM888 menawarkan sofa ‘couple seat’ untuk dua orang.
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi Ticket2U bermula 26 November 2026, pada pukul 3 petang.
The post Selepas Tiga Dekad, Spider Akhirnya Pulang Ke Johor & Bakal Gegarkan Pentas ‘Sengat Selatan’! first appeared on OHBULAN!.





