PKR pimpinan Anwar Ibrahim perlu mengakui bahawa sebahagian janji reformasi yang ditawarkan sebelum ini tidak realistik dan sukar dilaksanakan, kata bekas naib presiden parti itu, Tian Chua.
Menurutnya, pengakuan secara jujur terhadap kesilapan tersebut juga sebahagian daripada langkah reformasi.
Tian Chua berkata tuntutan melaksanakan reformasi bukan sahaja terletak pada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, malah setiap menteri dalam kerajaan Madani perlu menunjukkan prestasi masing-masing.
"Jadi, bagi saya adalah adalah tanggungjawab setiap menteri bagaimana mereka mencapaikan reformasi melalui kuasa sendiri, melalui memperbaikikan prestasi sendiri.

"Dan juga adalah tergantung kepada anggota-anggota dan pimpinan pertengahan dalam PKR untuk berusaha untuk mencapaikan reformasi yang kita ingin janjikan.
"Dan reformasi ini termasuk secara jujur untuk memberitahu rakyat bahawa ada setengah-setengah janji yang disampaikan itu yang tidak realistik dan itu adalah kesilapan. Itu adalah kesilapan yang harus kita mengaku," katanya melalui audio siar Kini Jelas terbitan KiniTV.
Tian dipecat daripada PKR selepas bertanding sebagai calon bebas di parlimen Batu pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Tian dilaporkan hadir kongres parti itu di Melaka pada 15 Ogos lalu. Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis sama, memohon maaf selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti itu agar kembali ke landasan perjuangan PKR.
"Pertama, otai-otai yang kadang-kadang ialah biasa.. sila kembali…rakan-rakan saya yang lain, yang mungkin rasa sedikit terpinggir.
"Kalau ada apa-apa kesilapan kita, saya mohon maaf, kembalilah kepada landasan perjuangan kita," katanya.

Dalam pada itu, Tian berkata pimpinan PKR perlu mencari jalan lebih kreatif untuk menunaikan janji kepada rakyat, termasuk menurunkan kos sara hidup.
Dia berkata kerajaan seharusnya memanfaatkan baki penggal ini sebaik mungkin untuk menjayakan agenda reformasi berbanding terus menjanjikan perkara yang tidak realistik.
Dalam perkembangan berkaitan, audio siar Kini Jelas turut menampilkan penulis dan bekas editor Malaysiakini Fathi Aris Omar.
Dia sependapat dengan Tian Chua mengenai pelaksanaan janji reformasi kepada rakyat.

Fathi mengambil perbahasan mengenai tuntutan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku), khususnya bagi memberikan kebebasan berpolitik kepada mahasiswa, sebagai contoh.
Menurutnya, tumpuan terhadap pemansuhan Auku tidak seharusnya menyebabkan matlamat asas untuk membina kecemerlangan universiti dilupakan.
"Kadang-kadang kita ni menjadi terlalu legalistik dan teknikal.
"Kita lupa, kita ni ni nak beri kebebasan berpolitik kepada mahasiswa melalui pemansuhan Auku atau pun nak membina kecemerangan universiti, kalau nak membina kecemerlangan universiti tidak bermadai dengan penghapusan Auku.

"Jadi, sebenarnya konteks kita apa? Jadi konteks Auku ni yang kadang-kadang NGO, aktivis dan juga penulis dan juga kadang-kadang orang parti politik lupa bahawa isu pokok kita adalah pendidikan.
"Macam mana mencermelangkan pendidikan tinggi dan juga ini berkaitan dengan bagaimana merudumnya standard kita untuk di sekolah rendah dan sekolah menengah," kata Fathi lagi.





