Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang khususnya DAP, diingatkan agar tidak dibuai keselesaan dengan status kubu kuat sejak dua dekad lalu, sebaliknya perlu bersedia mendepani pertempuran Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka lebih mencabar.
Pengerusi PH Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata landskap politik tanah air kini berubah drastik dengan sentimen pengundi yang berbeza sebagaimana berlaku dalam keputusan pilihan raya di Sabah baru-baru ini.
“Di Sabah, kita sedikit sebanyak dapat perhatikan angin pengundi begitu senang berubah, dan walaupun sekian lama wakil rakyat banyak menabur bakti, ia bukan jaminan kepada genggaman kemenangan di kerusi masing-masing.
“Rakyat hari ini mahu melihat bukan sekadar slogan, tetapi kepimpinan yang mampu membawa kestabilan, pembangunan dan keyakinan terhadap masa depan negeri," katanya ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Johor Bahru, hari ini.
Seiring dengan perubahan sentimen politik itu, Chow berkata beliau memilih untuk mengamalkan politik bertanggungjawab berbanding populariti walaupun kini berada dalam penggal terakhir sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Ada yang menyatakan saya boleh memilih politik selesa (kerana penggal terakhir). Tetapi saya tidak memilih jalan itu. Saya memilih untuk meneruskan keputusan yang diyakini penting demi masa depan Pulau Pinang, walaupun ia mungkin mengundang rasa tidak puas hati dalam jangka pendek," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Perikatan Nasional (PN) kini sedang memperhebat usaha memperluaskan pengaruh di Pulau Pinang, khususnya menerusi PAS dan Gerakan yang memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu di Seberang Perai dan Balik Pulau.

Chow berkata PN cuba membina momentum politik dengan memainkan isu setempat seperti kos sara hidup, tarif air, cukai tanah serta sentimen berkaitan “elit bandar” bagi mempengaruhi sokongan rakyat di negeri itu.
“PRU akan datang bukan sekadar soal siapa yang paling kuat berkempen. Ia adalah soal siapa yang rakyat percaya mampu memimpin ketika keadaan menjadi sukar.
”Negeri ini (Pulau Pinang) memerlukan kepimpinan yang matang, stabil dan berani membuat keputusan demi masa depan rakyat walaupun terpaksa menanggung risiko politik,” katanya.
Chow turut menyentuh mengenai kepentingan memperkukuh kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan dan persediaan pelapis kepimpinan pasca-Ketua Menteri bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terjamin.
Konvensyen PH 2026 yang bertemakan "Tekad MADANI, Harapan Rakyat", menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara..
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Antara pemimpin yang akan turut memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.





