Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menyifatkan gesaan dua pemimpin Umno agar parti itu terus menentang komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) oleh Hew Kuan Yau, sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan komik itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan langkah kerajaan yang membatalkan pengharamannya.
Dalam kenyataan hari ini, Kok juga mendakwa anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara.
Semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. Buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.
“Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri,” kata Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh.
Terdahulu, Puad menggesa keajaan mengharamkan semula buku tersebut, manakala Akmal berkata kerajaan perlu menimbang untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Pembatalan larangan buku itu dinyatakan dalam warta kerajaan yang diterbitkan semalam dan ditandantangani Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
[Berita lanjut menyusul]





