Seorang penumpang tren transit aliran ringan (LRT) terjatuh ke dalam kawasan landasan di Stesen Gombak dalam satu kejadian yang berlaku pagi tadi.
Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, individu berkenaan yang tidak didedahkan jantinanya dipercayai mengalami pitam sebelum terjatuh ke landasan.
"Rapid KL ingin memaklumkan bahawa satu insiden melibatkan seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen Gombak pada jam 9.05 pagi tadi.
"Sejurus insiden berlaku, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa ke landasan juga diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi dan polis bantuan menjalankan tindakan segera.
"Penumpang terlibat berjaya dibantu keluar dari kawasan landasan dan dibawa ke bilik kecemasan sementara menunggu ambulans tiba," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penumpang berkenaan kemudiannya telah dibawa ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Susulan insiden itu, pemeriksaan lanjut dilakukan dan landasan disahkan berada dalam keadaan selamat sebelum operasi tren disambung semula pada jam 9.12 pagi.





