Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Shahidan Kassim mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang menurutnya dijangka mendapat sokongan parti itu dalam kemelut politik menteri besar negeri tersebut.

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya itu, Shahidan yang juga ahli Parlimen Arau mencetuskan spekulasi baru dengan menyeru kerjasama seluruh negara atas semangat Muafakat Nasional.
“Tahniah Jalal, MB baharu, PN dijangka sokong Umno. Harap kerjasama seluruh negara. Hidup Muafakat Nasional,” katanya.
Terdahulu, Umno Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Jalaluddin berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana hilangnya keyakinan mereka terhadap kepimpinan Aminuddin.
BN mempunyai 14 kerusi DUN berbanding 17 di pihak PH, selain lima milik Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan Madani boleh tumbang jika BN membentuk pakatan bersama PN. Pada sidang media selepas peristiwa itu, PN mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan BN.

PN mempunyai tiga Adun daripada PAS iaitu Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting).
Sementara dua lagi Adun Bersatu ialah Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) Ridzuan Ahmad (Gemas).
Tarik sokongan kerana prinsip parti - Dr Akmal Saleh
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan tindakan 14 Adun BN dan Umno yang menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun sebagai langkah tepat berlandaskan prinsip utama parti.
Portal Berita Harian memetiknya sebagai berkata, pendirian tegas Umno Negeri Sembilan itu adalah gambaran sebenar bahawa parti berkenaan terus mempertahankan prinsip perjuangan parti meski pun berdepan risiko kehilangan kuasa demi mempertahankan agama, bangsa dan institusi raja.

"Saya mengucapkan tahniah kepada kepemimpinan Umno Negeri Sembilan yang berani membuat keputusan berasaskan prinsip parti.
"Kita tidak akan berdiam diri jika kedaulatan raja-raja tercabar. Ini adalah prinsip asas perjuangan parti yang perlu dipertahankan walau dalam apa jua keadaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang DUN Melaka di Seri Negeri di Melaka hari ini.





