Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Building Society, Taman Star di Ipoh, semalam.
Ketua Polis Perak Mohd Alwi Zainal Abidin berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi apabila dua suspek memasuki sebuah rumah melalui tingkap yang diumpil sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga di situ.
“Seorang suspek dipercayai melarikan diri, manakala seorang lagi ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil bezah siasat mendapati sebab kematian ialah masalah saluran jantung tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut.
Katanya kes siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Polis juga sedang cuba mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.
Justeru, Mohd Alwi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.





