29.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kontraktor minta Adam dapatkan sokongan Muhyiddin untuk projek Jana Wibawa

    Shopee Sale

    Saksi pendakwaan ke-21 dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendakwa dia meminta bantuan bekas timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad untuk mendapatkan projek di bawah program Jana Wibawa.

    Individu di sebalik syarikat Bumiputera Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dia diperkenalkan kepada Adam oleh Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Azman Yusoff, yang juga pengarah urusan sebuah lagi syarikat pembinaan, KCJ Engineering Sdn Bhd.

    “Menurut Azman, syarikat yang mahu memohon projek di bawah program Jana Wibawa perlu mendapatkan sokongan perdana menteri, yang ketika itu ialah Muhyiddin.

    “Azman memberitahu saya mengenai Adam dengan mengatakan dia merupakan rakan rapat Muhyiddin dan boleh membantu mendapatkan projek di bawah program itu.

    “Dia menambah Adam kerap bermain golf dengan Muhyiddin, yang meyakinkan saya bahawa Adam boleh membantu saya mendapatkan projek.”

    Pertemuan dengan Adam berlangsung pada Disember 2020 di sebuah restoran di Publika. Ketika itulah saksi mengetahui mengenai projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara bernilai RM100 juta yang disenaraikan di bawah program Jana Wibawa.

    Dia berkata Adam kemudian memintanya menyediakan surat niat berserta profil syarikat untuk diserahkan kepada Muhyiddin bagi membolehkan Nepturis memohon projek itu melalui proses perolehan secara prakelayakan.

    Saksi kemudian menyediakan dokumen diperlukan dan menyerahkannya kepada Adam.

    Dia berkata menerima maklum balas daripada pemimpin Bersatu itu beberapa hari kemudian yang memaklumkan Muhyiddin telah memberikan minit sokongan terhadap permohonan berkenaan.

    “Susulan itu, saya percaya syarikat saya mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan projek tersebut kerana lazimnya, apabila surat permohonan disokong oleh perdana menteri, kementerian dan agensi kerajaan lain akan memprosesnya sewajarnya.”

    Adam sebelum ini didakwa pada 2023 atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi projek berkaitan program Jana Wibawa.

    Sumbangan RM1 juta pada Bersatu

    MENARIK:  Wong digesa undur jika rasa dah tak sehaluan dengan PKR

    Selepas memperoleh sokongan Muhyiddin, Tan memberitahu mahkamah dia memaklumkan Azman mengenai “kejayaan” itu sebelum diminta menyumbang RM1 juta kepada Bersatu sekiranya diberikan projek berkenaan.

    Selain itu, kata Tan, Azman turut mencadangkan supaya syarikatnya, KCJ Engineering dilantik sebagai perunding Nepturis bagi projek tersebut. Saksi bersetuju dengan kedua-dua cadangan itu.

    Syarikat Tan kemudian memperoleh projek berkenaan pada 12 Jan 2022 selepas menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Kerja Raya bagi projek yang ditender pada nilai RM141 juta.

    Saksi kemudian meminta pengarah urusan Nepturis, Rizman Akum Khan, menyediakan cek RM1 juta untuk Bersatu pada 16 Feb 2022.

    Rizman sebelum ini memberi keterangan dia menyediakan cek itu tanpa mengetahui tujuannya dan atas arahan Tan.

    “Saya kemudian menyerahkan cek itu kepada Azman di pejabatnya pada hari sama untuk dia menguruskannya, sama ada dengan menyerahkannya kepada pemimpin Bersatu atau memasukkannya ke dalam bank.

    “Jika Nepturis tidak memenangi tender projek itu, saya tidak akan memberikan sebarang sumbangan kepada Bersatu. Ini kali pertama syarikat memberikan sumbangan dan saya melakukannya atas permintaan Azman,” kata Tan.

    Ganjaran atau sumbangan?

    Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi menjelaskan dia memahami sumbangan sebagai bayaran secara sukarela manakala ganjaran diberikan sebagai balasan untuk sesuatu.

    “Adakah apa yang dikatakan sebagai sumbangan itu suatu ganjaran atau semata-mata sumbangan,” soal Wan Shaharuddin kepada saksi.

    Tan menjawab: “Saya rasa ia ganjaran.”

    Muhyiddin sedang dibicarakan atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM255.3 juta.

    Pertuduhan itu berkaitan Jana Wibawa, program yang diperkenalkan ketika dia menjadi perdana menteri antara 2020 hingga 2021 bagi mempercepat pelaksanaan projek dan merancakkan ekonomi negara ketika pandemik Covid-19.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Nurdin bersambung esok.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah