DAP mengadakan sesi penjelasan berkaitan tindakan mereka menarik sokongan kepada kerajaan Melaka.
Sesi itu diadakan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang malam tadi, beberapa jam selepas tindakan drastik itu diambil petang semalam.
“Malam tadi, kami telah mengadakan pertemuan bersama para ahli parti DAP Melaka untuk menerangkan serta menjelaskan keputusan Adun DAP menarik diri daripada kerajaan negeri Melaka.
“Terima kasih kepada semua ahli yang berdiri teguh bersama kami dan memberikan sokongan penuh terhadap keputusan ini,” kata pengerusinya Khoo Poay Tiong.

Semalam, semua Adun DAP Melaka, termasuk Khoo, menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Umno selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan.
DAP juga akan melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan, melibatkan seorang exco negeri, dua timbalan exco dan seorang timbalan speaker, selain semua ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan.
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas kerana BN tidak perlu bergantung kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri.
Menulis di media sosial, Khoo berkata, sokongan anggota menguatkan lagi keyakinan mereka bahawa “mempertahankan prinsip dan demokrasi adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi”.


Dia menegaskan bahawa mereka menolak pindaan perlembagaan negeri bagi membolehkan pelantikan Adun secara lantikan kerana ia membebankan wang rakyat.
Dia juga berkata ia mencemarkan prinsip demokrasi dengan mengenepikan hak rakyat untuk memilih wakil melalui pilihan raya.
“Sehubungan itu, semua jawatan bawah kerajaan negeri yang disandang oleh ahli DAP juga akan dilepaskan dalam masa terdekat sebagai tanda pendirian yang jelas dan konsisten.
“Prinsip tidak boleh dijual beli. Demokrasi tidak boleh dikompromi,” katanya.





