Pemuda Amanah menolak dakwaan Johor hanya menerima pulangan RM2 bilion hingga RM3 bilion daripada kerajaan persekutuan di sebalik apa yang disumbangkan negara itu kepada pusat.
Sebaliknya, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan, Johor adalah antara penerima peruntukan pembangunan dan pelaburan berskala besar di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
Menurutnya berkata gambaran kononnya Johor dipinggirkan juga tidak selari dengan rekod semasa yang menunjukkan negeri itu muncul antara yang paling pesat membangun, termasuk menjadi penerima pelaburan diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada 2025.
Ammar berkata, sumbangan kerajaan persekutuan kepada Johor tidak boleh diukur hanya berdasarkan angka tertentu kerana ia turut melibatkan pembiayaan langsung untuk projek infrastruktur awam, kos penyelenggaraan serta perbelanjaan operasi agensi kerajaan.
“Dakwaan bahawa kerajaan persekutuan hanya mengembalikan RM2 bilion hingga RM3 bilion kepada Johor tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Johor juga tidak dianaktirikan. Rekod menunjukkan Johor kekal sebagai antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia, dengan kedudukan sebagai pengeksport kedua terbesar negara pada 2025 dan penerima pelaburan diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada tahun yang sama.
“Persekutuan terus melabur secara langsung dalam pembangunan infrastruktur awam di Johor, merangkumi sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan asas yang lain.
“Projek besar seperti Sistem RTS dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru turut didanai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dilaporkan bertitah negeri itu menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada pusat namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat.
Titah Tunku Ismail, sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Ammar berkata, jumlah sumbangan sebenar daripada kerajaan pusat juga merangkumi pembiayaan berterusan termasuk gaji guru, anggota agensi persekutuan, polis dan tentera yang berkhidmat di Johor.
Dia merujuk kenyataan Menteri Kerja Raya pada Dis lalu yang menyatakan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM11.43 bilion bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Johor sepanjang 2025.
Selain itu, katanya, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, turut pernah merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas kelulusan 510 projek di negeri itu bernilai RM4.7 bilion pada 2024.
Jika timbul persoalan mengenai pulangan kepada Johor yang dianggap tidak setimpal, katanya, perkara itu tidak wajar diletakkan kepada kerajaan Madani yang belum menamatkan satu penggal pentadbiran.
Sebaliknya, dia mengingatkan bahawa parti yang menerajui kerajaan negeri Johor hari ini juga telah lama memegang tampuk pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan sejak merdeka.
Dalam tempoh singkat pentadbiran kerajaan Madani, kata Ammar, Johor mencatat rekod pelaburan tertinggi negara selain menerima peruntukan pembangunan dan pelaburan infrastruktur yang signifikan.
“Kerajaan persekutuan komited meneruskan kerjasama erat dengan kerajaan negeri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira pentadbiran negeri,” katanya.





